Search This Blog

Thursday, November 1, 2007

Cerpen Pilihan - Menjejak Syaitan

MENJEJAK SYAITAN

Oleh

Zainal Abidin Sait

Minggu Pertama

Telah lebih satu minggu Detektif Ariffin membelek fail pembunuhan kejam yang diserahkan kepadanya oleh Inspektor Micheal Ching. Pembunuhan kejam seorang kanak-kanak Bidadari berusia lapan tahun. Sadis. Penuh kekejaman. Detektif Ariffin sendiri tidak tahu kenapa fail itu diserahkan kepadanya. Mungkin kerana kepakarannya. Atau kerana namanya. Atau juga kerana pihak polis sengaja mahu kes itu tidak selesai. Sepanjang pengalamanya bekerja sebagai detektif jenayah berat, hanya dua kes yang berjaya diselesaikannya. Berpuluh-puluh kes terperap begitu sahaja. Dia sering kalah. Walau dalam hatinya tidak pernah mengalah. Masa dan keadaan selalu menjadi batu halangan yang paling berat untuk ditempuh.
Tapi kes ini lain. Bidadari berusia lapan tahun. Comel. Berambut kerinting. Mata bundar berair. Kulitnya putih. Ada dua penyakit bahaya yang akan membawa maut. Penyakit yang selalunya menyerang orang dewasa lewat empat puluhan. Tapi mengapa penyakit ini ada pada Bidadari? Atau sengaja Tuhan mahu Bidadari ini mengadapnya lebih awal daripada menanggung siksa penyakit yang lebih lama. Tak mungkin. Tuhan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Cara Bidadari dibunuh begitu kejam. Diculik selama sebulan. Dicabul ibarat barang mainan. Dia bukan dibunuh tetapi dicabul hingga mati. Atau dia dibunuh kemudian dicabul sepuas-puasnya. Atau dia mati kerana penyakitnya, kemudian dicabul sepuas-puasnya.Mengapa dicabul sahaja? Bukan diperkosa? Atau mungkin diperkosa dan dicabul kemudian dibunuh? Ah, bukan cara kematiannya yang jadi keutamaan. Pembunuhnya yang perlu dicari. Ditangkap. Dan menerima hukuman.
Diselaknya helaian pertama fail tersebut. Helaian kedua. Helaian ketiga. Tamat. Hanya tiga helai laporan dalam fail tersebut. Selebihnya gambar. Selebihnya laporan bedah siasat. Ada beberapa laporan akhbar dan laporan polis semuanya tidak berguna. Tiada satupun laporan siasatan awal yang dibuat. Mungkin kes ini tidak penting kepada polis. Tapi bagi Detektif Ariffin kes ini penting kepada rakyat Malaysia. Setidak-tidakpun, kes ini penting bagi penduduk Kuala Lumpur. Aku akan siasat. Aku akan tangkap. Kalau perlu jadi hakim, aku akan jadi hakim. Aku hanya perlu satu bulan untuk menjejak syaitan ini.
Seluruh Malaysia percaya bahawa syaitan itu adalah pedofilia. Maka sepanjang minggu tersebut Detektif Ariffin mengkaji pedofilia. Dilayari setiap laman web berkaitan. Dari laman web antarabangsa sehingga ke laman web tempatan. Ya Tuhan, ada lebih 30 laman web pedofilia di Malaysia. Dibacanya kesemua laman web tersebut. Diperincikan satu per satu. Analisa, sintisis kesemua pengalam digunakan. Mana tahu, ada gambar Bidadari yang dimuat turun oleh syaitan. Tiada. Kalau pedofilia, petunjuknya masih kabur. Terlalu kabur dan amat kabur. Namun siasatan terus berjalan. Detektif Ariffin terus mencari bahan. Bekerja sendiri. Tiada yang membantunya. Sulit. Amat sulit. Senjata yang biasa digunakan oleh polis untuk tidak memberi kerjasama.




Minggu Kedua
Bidadari itu dikembalikan. Mengapa? Mungkin syaitan itu mahu itu dimandikan. Dikafankan. Diberi penghormatan terakhir. Dikebumikan dengan penuh rasa takzim. Atau mungkin syaitan itu mahu satu negara merasai kekejamannya. Atau mungkin syaitan itu mahu melihat kedukaan pada raut wajah ayahanda dan bonda Bidadari itu. Dendam. Satu kemungkinan. Disiasatnya latarbelakang ayahanda dan bonda Bidadari itu. Kedua-duanya berusia awal tiga puluhan. Zaman yang amat sibuk untuk membesarkan anak-anak. Bukan satu tapi tiga. Kesemuanya perempuan termasuk Bidadari. Tiada rekod jenayah. Sibonda bukan bekas kekasih orang, jauh sekali tunangan dan isteri orang. Lama sudah keluarga itu menetap di situ. Kalau ada yang berdendam, pasti sekali sering berpindah. Lari dan terus berlari. Bukan dendam kata hati Detektif Ariffin. Bukan dendam kata akal Detektif Ariffin. Ini kerja syaitan. Syaitan tak perlukan dendam untuk membunuh. Syaitan membunuh untuk suka-suka. Pasti bukan dendam.
Detektif Ariffin berteori. Bidadari dikembalikan untuk dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan disemadikan dengan penuh penghormatan. Mungkin syaitan ini Melayu. Mungkin Mat Indon yang menumpang di bumi bertuah ini. Sambil menumpang sambil membuat onar. Jika ini benar, syaitan itu Tuhannya sama dengan Tuhanku. Begitu bisik hati Detektif Ariffin. Kalau syaitan ini Tuhannya berlainan, Bidadari pasti disemadikan sendiri. Atau mungkin dicampak ke dalam longkang. Hancur dan cair kemudian mengalir bersama air busuk longkang Jalan Chow Kit. Atau mungkin Bidadari dibakar hangus. Tulang-tulang lembutnya menjadi abu. Berasap dan bertebangan seperti jerebu yang sering melanda negara sepanjang Julai. Syaitan ini mesti serumpun bangsa dengan aku. Tuhannya mesti sama dengan Tuhan aku.
Ada lagi dua kes yang sama. Namun nasibnya lebih baik dari Bidadari. Dihantar pulang dengan keadaan yang luka parah. Kedua-duanya dari perkampungan Melayu tertua di Kuala Lumpur. Tapi mengapa polis diam. Mengapa aku tidak dipanggil lebih awal. Kalau tidak, pasti Bidadari akan terus berlari. Tersenyum melihat baju kurung barunya menjelang Aidilfitri. Bersila ampuh mengadap juadah berbuka. Pasti tangannya terasa hendak mencapai itu dan ini. Selera berbuka seorang Bidadari amat keletah. Manja dan comel. Bidadari pasti tersandar kekenyangan dan pasti merengek malas bermaghrib. Kenyang susah nak rukuk.
Mungkinkah syaitan ini polis seperti aku. Mungkin Detektif Razlan yang baru kematian isteri awal tahun ini. Atau mungkin Inspektor Razif yang kaki GRO. Atau mungkin Inspektor Micheal Ching yang nilai kecinaannya semakin menipis. Karut. Teori ini karut bisik hati Detektif Ariffin. Mungkin rasuah. Polis dan rasuah ibarat isi dan kuku. Semua boleh diatur. Pengedar dadah lepas. Perompak lepas. Pembunuh lepas. Segala penjahat lepas. Tapi kali ini, kalau syaitan itu dapat ditangkap, ada yang melepaskannya, aku bunuh dia. Begitu kata hati Detektif Ariffin.
Bidadari dikembalikan. Pasti ada cap jari. Detektif Ariffin membuka kembali laporan bedah siasat bidadari. Ada. Segera Detektif Ariffin mendapatkan dua fail kes yang hampir sama. Mencari cap cari. Ada dan tiada. Ada pada kes pertama dan tiada pada kes kedua. Dibawanya kedua-dua kesan cap jari ke makmal forensik. Diujinya. Dipadankan. Yeah, sepadan. Memang sepadan. Syaitan telah memberi tanda alamat. Mungkin syaitan yang sama membuat dua dosa. Bukan dosa tapi kerja. Syaitan itu dosanya adalah berkerja.
Esoknya Deteftif Ariffin segera ke Jabatan Pendaftaran Negara. Dari pagi membawa ke malam tugasnya cuma satu. Memadankan kesan cap jari yang ada dengan dua puluh empat juta kesan cap jari di bank simpanan cap jari jabatan tersebut. Diringkaskan mengikut kawasan. Bermula dengan Kuala Lumpur. Kemudian Selangor. Kemudian Kelantan. Kemudian Perlis. Kemudian dan kemudian terus sehingga ke Sabah. Tiada. Pemadanan gagal. Mungkin syaitan itu bukan rakyat negara ini. Mungkin Mat Indon. Mungkin sistem pemadanan negara ini tidak canggih. Mana mungkin. Jabatan itu sering mewar-warkan kecanggihan sistem mereka. Terunggul di dunia kononnya. Merintis teknologi dan dicontohi oleh seluruh negara lain kononnya. Tak mungkin sistem padanan ini silap. Syaitan ini mesti Mat Indon. Mat Bangla. Tiba-tiba Detktif Ariffin teringatkan Mat Bangla. Atau Mat Afrika. Atau bermacam-macam Mat lain yang jumlah lebih lima juta itu. Yang mencurah-curah datang ke Malaysia membantu menaikkan kadar penggangguran negara.
Pening, pening, pening, dan pening serta pening. Detektif Ariffin buntu. Mengalah. Mengalah bukan pilihan kali ini. Dia telah banyak kali mengalah dalam siasatannya. Telah ramai janda yang kematian suaminya tidak dibela. Telah ramai anak yatim yang kehilangan ayahnya tidak dibela. Berdosa dan berdosa. Detektif Ariffin mahu menghapus segala dosanya kerana silapnya. Silapnya yang mudah mengalah.





Minggu Ketiga
Saban malam semenjak mengendalikan kes itu, Detektif Ariffin sukar untuk melelapkan matanya. Setiap kali matanya mahu terlelap, pasti ada bayangan Bidadari yang melintas. Terkadang tersenyum. Ada kalanya menangis. Dan selalunya hanya memandang kepada Detektif Ariffin. Seperti mengharapkan pertolongan. Setiap kali juga Detektif Ariffin akan bangun, berwuduk dan membacakan Al-Fatihah tujuh kali untuk Bidadari. Namum selalunya Bidadari akan datang kembali, melambai-lambai tangan dan kemudian hilang dari pandangan antara lelap dan jaga.
Peliknya Bidadari tidak pernah hadir dalam mimpi. Kalau Bidadari hadir dalam mimpi pasti memudahkan penyasiatanya. Detektif Ariffin akan membelai rambut Bidadari. Detektif Ariffin akan bertanya. Akan mencari rahsia. Di mana syaitan? Siapa syaitan? Detektif Ariffin sedar dia berada dalam realiti. Bukan dalam industri filem yang berpuluh penerajunya mendapat Dato’ setiap tahun. Selalu dia berdoa, agar Bidadari hadir dalam mimpinya. Namun, sehingga kini doanya itu tidak pernah termakbul.
Dua mangsa yang masih ada. Itu alamat kedua. Dibuka kembali dua fail tersebut. Sama seperti fail Bidadari. Kedua-dua hanya setebal tiga helaian. Bodoh bisik hati Detektif Ariffin. Semakin hari rakan-rakanku ini menjadi semakin bodoh. Membuka fail dan membiarkan sahaja. Mungkin mereka mengharapkan fail itu bergerak dan menyiasat sendiri. Mungkin mereka mengharap fail yang dibuka itu akan memberikan jawapannya pada tahun 2020 nanti. Mungkin juga mereka terlalu sibuk menahan Mat Rempit, mengejar GRO dan Pelacur haram dari China dan Eropah Timur. Bodoh. Kalaupun mereka cerdik, mereka masih bodoh kerana tidak bersungguh-sungguh.
Nasib Detektif Ariffin baik. Ada alamat kedua-dua mangsa dalam fail tersebut. Ada gambar. Wajah kedua-dua mangsa itu juga seakan wajah Bidadari. Pasti ini menjadi alamat ketiga. Esok Detektif Ariffin akan pergi ke alamat pertama kerana di situ ada kesan cap jari. Lusa, Detektif Ariffin akan pergi ke alamat kedua. Hanya untuk menjadi alamat ketiga semakin nyata.
Di tempat pertama, Detektif Ariffin amat terkejut. Wajah mangsa itu sama seperti wajah Bidadari yang ditampal di poster yang dicetak beratus ribu itu. Membazir. Mana mungkin poster mengembalikan orang hilang. Ada sahaja orang hilang, cetak poster, lekat poster. Itu sahaja yang polis boleh lakukan. Itu bukan siasatan. Mungkin latihan kempen pilihanraya. Begitu getus hati Detektif Ariffin.
Dipujuknya mangsa itu bercerita. Satu persatu bual bicara ditulis dengan cermat di atas buku nota seorang detektif. Semakin lama soalannya semakin panas. Sesakali ayah dan ibu mangsa memandang tajam kepadanya. Detektif Ariffin terus bertanya. Bertanya dan bertanya. Jalan ke alamat syaitan seperti sudah terbuka. Lewat petang, tiada lagi soalan yang boleh ditanya. Detektif Ariffin bangun. Memohon diri. Maafkan seluruh anggota polis kerana tidak menyiasat kes ini. Tersembur kata-kata itu dari mulutnya. Spontan. Bukan dengan sengaja. Detektif Ariffin sendiri hairan mengapa kata-kata maaf itu muncul dari mulutnya. Detektif bukan Ketua Polis Negara. Orang yang sepatutnya meruntuhkan ego dan memohon kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia.



Detektif Ariffin sekali lagi terpegun melihat mangsa kedua. Seolah-olah salinan wajah Bidadari. Sama seperti poster Bidadari. Poster yang ditampal sebelum waktu pilihanraya. Detektif Ariffin memujuk. Bertanya soalan yang sama. Pelik. Jawapannya juga sama.
Syaitan nampak baik. Sentiasa berkemeja. Syaitan puteh. Rambutnya pendek dan tersisir rapi . Dada syaitan besar macam ahli sukan bina badan. Dirumahnya banyak kucing. Syaitan ada isteri. Rumah Syaitan besar. Ada pagar eletrik. Ada kolam renang. Ada hutan dikeliling rumah syaitan. Syaitan ada kereta. Bukan satu tetapi tiga. Satu warna merah, satu kuning dan satu lagi puteh. Tetapi syaitan tidak ada anak. Bila malam syaitan selalu pukul isteri syaitan.. Syaitan cakap Inggeris dengan isterinya. Isterinya akan menjerit-jerit. Syaitan akan ketawa. Syaitan akan panggil mangsa tengok isterinya menjerit-jerit. Syaitan ambil gambar. Kemudian syaitan akan pukul mangsa, sama seperti syaitan pukul isterinya. Syaitan akan paksa isterinya tengok syaitan pukul mangsa. Kemudian syaitan ambil gambar. Syaitan akan ketawa, ketawa, dan ketawa.
Malam itu Detektif Ariffin pulang dengan dengan senyuman. Syaitan, aku akan mencarimu bisik hatinya. Ketika matanya hampir terlelap bayangan Bidadari melintas perlahan-lahan. Bidadari senyum dan menganngguk-angguk kepada Detektif Ariffin. Detektif Ariffin bangun. Berwuduk dan terus membaca Al-Fatihah tujuh kali. Di antara tidur dan jaganya, Detektif Ariffin terdengar bisikan. Memang dia, memang dia, memang dia yang bunuh bidadari.




Minggu Keempat
Langkah akhir bermula. Satu persatu rumah mewah di kawasan elit itu ditinjau. Detektif Ariffin mencari setiap rumah yang ada kolam renang. Diselidiki semua rumah. Hampir semua rumah ada kolam renang. Dicari semula semua rumah yang ada tiga buah kereta. Ada separuh rumah yang ada tiga buah kereta. Selebihnya empat, dan ada yang lima dan enam buah kereta. Ada lapan buah rumah yang hanya ada dua buah kereta. Dicarinya rumah yang ada kereta merah, kuning dan puteh. Tiada. Mustahil tiada. Mungkin syaitan sudah menjual kereta-keretanya. Atau mungkin syaitan telah menambah bilangan keretanya. Atau mungkin syaitan hanya menjual salah satu daripada keretanya.
Detektif Ariffin kembali melihat rumah yang ada lebih daripada tiga buah kereta. Melihat dan mencari kereta merah, kuning dan puteh. Orang kaya getus hatinya. Lebih mudah membeli dari menjual. Hati dan akalnya begitu berdebar apabila menghampiri sebuah rumah. Sunyi sekali rumah tersebut. Ada empat buah kereta. Dua buah kereta merah, sebuah kereta kuning, dan sebuah kereta puteh. Ada kolah renang. Ada pintu pagar eletrik. Sekitarnya hutan. Sepi dan sunyi. Jauh dari rumah-rumah lain. Semakin lama Detektif Ariffin meninjau rumah itu, hatinya menjadi semakin marah. Akalnya menjadi semakin hilang punca. Akal dan hatinya berkecamuk. Ingin segera bertindak atau menunggu.
Waran. Detektif Ariffin perlukan waran geledah. Detektif Ariffin perlu yakinkan Inspektor Micheal Ching untuk mendapatkan waran geledah. Inspektor Micheal Ching perlu mendapatkan kebenaran mahkamah. Lambat! Getus hati Detektif Ariffin. Aku tak perlukan waran untuk menangkap syaitan.
Seperti ada suatu kuasa ajaib, Detektif Ariffin terus memanjat panggar rumah tersebut. Masuk sahaja dalam kawasan rumah tersebut, Detektif Ariffin terus memecahkan pintu belakang. Diselongkarnya seluruh isi rumah. Dapur. Tiada bukti yang ditinggal di dapur. Ruang tamu. Sama, tiada bukti yang ditinggalkan di situ. Habis kesemua lima bilik ditingkat bawah. Tiada sebarang bukti yang ditemui.
Detektif Ariffin segera ke tingkat atas. Bilik tidur utama. Berkunci. Jarang sekali bilik tidur utama dikunci. Pasti ada rahsia. Puas Detektif Ariffin cuba membuka pintu bilik itu. Gagal dan terus gagal. Dikeluarkan pistolnya. Damm. Damm. Pintu terus boleh ditolak. Cantik. Kemas. Wangi. Besar. Serba mewah. Kamera, kamera digital. Terlintas alat itu dalam kotak fikiran Detektif Ariffin. Pelik, kamera digital yang dicari-cari hanya berada di atas katil.
Detektif Ariffin menghidupkan kamera tersebut. Dilihatnya satu persatu video yang dirakam. Ada video seorang perempuan dewasa disiksa secara seksual. Peliknya syaitan lengkap berpakaian. Ada video mangsa pertama. Ada video mangsa kedua.. Syaitan hanya menyiksa tetapi tidak memperkosa. Apabila syaitan menyiksa mangsa pertama dan kedua syaitan tidak berpakian. Mati pucuk. Syaitan mati pucuk rupanya. Detektif Ariffin mempercepatkan gerakan vidoe tersebut. Detektif Ariffin mencari gambar Bidadari. Dipercepatkan lagi. Lambat rasanya video itu bergerak.




Terpaku Detektif Ariffin. Begitu siksa Bidadari diperlakukan. Panas dan meluap-luap rasa kemarahan Detektif Ariffin. Memang syaitan bisik hatinya. Detektif Ariffin turun ke bawah. Ke ruang tamu. Detektif Ariffin duduk di atas sofa kulit warna hitam yang mengadap ke pintu masuk. Setiap gerak jarum saat dirasakan terlalu perlahan. Namun Detektif Ariffin terus sabar. Detektif Ariffin terus menunggu. Menanti dengan penuh sabar demi Bidadari.
Lewat jam lapan malam ada bunyi deru kereta masuk. Kemudian deru itu terhenti. Bersambung dengan bunyi pintu dibuka. Pintu utamapun terbuka. Lampu dihidupkan. Nampak jelas wajah syaitan. Dia hanya berseorangan. Isterinya tidak ada bersamanya. Sasa tubuhnya.. Puteh kulitnya. Berkemeja puteh dan berseluar hitam. Tali lehernya amat padan dengan kemejanya.
“Hei, kau siapa? Penceroboh!” Jerit Syaitan.
“Aku malaikalmaut yang dihantar oleh Bidadari.” Perlahan balas Detektif Ariffin. Digenggamnya pistolnya erat-erat. Dihalanya kepada syaitan. Dilihatnya mata syaitan yang seperti bernyala. Semakin lama wajah syaitan dilihat semakin buruk. Semakin menakutkan. Detektif Ariffin nampak syaitan semakin kecil. Benci dan marah bercampur aur mengikis akal dan pertimbangan Detektif Ariffin. Jari telunjuk Detektif Ariffin semakin kuat menarik picu.
Damm. Damm. Damm. Damm. Damm.Damm. Damm. Damm. Damm. Damm. Klik. Klik.

No comments: