Search This Blog

Wednesday, August 17, 2011

MUALLAF YANG BERPUASA 8


  1. Kemudian datang satu makhluk yang amat besar. Sayapnya hampir menggelapkan dunia. Pada seluruh tubuhnya tercetak jutaan rupa wajah manusia yang pelbagai bentuk dan air muka. Termasuklah wajah aku yang sedang tersenyum. Muka makhluk itu ada pada setiap penjuru kepalanya. Depan, belakang, kiri dan kanan.

  2. Makluk itu memberi salam. Gempita bunyi salam tersebut namun salam itu seperti mengangkat aku terapung di awanan. Dengungan yang berdentum itu menjadi satu kesyahduan yang begitu mendamaikan.

  3. Makluk itu memandangku dengan mukanya yang di hadapan. Dia tersenyum dan terus memanggil namaku. "Wahai Hamba Allah, sesungguhnya aku datang kepadamu atas perintahNya. Aku mahu mengambil kamu dan meletakkan kamu ke tempat yang lebih baik."

  4. Lantas makhluk itu mengibarkan sayapnya. Terbentang satu kawasan yang amat indah. Bunga-bungaan yang berwarna warni dengan bauan yang sungguh harum dapat kurasakan hingga ke tulang hitamku.

  5. Ada mahligai indah bertatah zamrud. Mengalir sebatang sungai yang sungguh jernih dari tengah-tengah mahligai itu. Di tebing sungai itu ada dusun yang menghimpunan ratusan jenis buah-buahan yang harum. Bergantungan buaian di setiap dahan pohon buah yang rendang. Di atas buaian tersebut, ratusan gadis cantik melambai dan tersenyum kepadaku.

  6. Aku sendiri nampak aku ada di sana. Namun aku kelihatan lain sekali. Aku seperti seorang raja yang sungguh berkuasa. Setiap bekas tapak kakiku akan hilang ditimbus kelopak bunga mawar. Aku tertanya-tanya aku kah itu.

  7. Kemudian makhluk besar itu berkata kepadaku. "Wahai Hamba Allah, di sanalah nanti kamu akan tinggal. Tempat yang disediakan untuk orang yang dipilihNya. Tempat yang disediakan segala nikmat olehNya. Dan kamu akan kekal di sana. Bersedialah kamu..."

  8. Lantas aku katakan yang aku sudah bersedia. Aku sudah bersedia untuk pergi ke tempat yang amat indah itu. Tempat yang tak pernah aku bayangkan sebelum ini. Malah tempat yang aku rasakan hanya boleh dibina dengan rahmatNya.

  9. Aku pun bertanya...bagaimanakah caranya untuk aku ke sana? Katakanlah. Makhluk perkasa itu menunjukkan aku ke satu arah. Kau lihat dan kau bacalah apa yang tertulis di sana...Di mana....di mana...

  10. Bersambung.....

No comments: