Search This Blog

Sunday, November 21, 2010

LAPORAN POST MORTEM MAJLIS KORBAN SURAU TAMAN PULAI IMPIAN

PENDAHULUAN

Majlis Korban Surau Taman Pulai Impian telah dijalankan pada 20 November 2010 (Sabtu). Majlis bermula tepat pada jam 7.00 pagi dengan lembu pertama ditumbangkan pada jam 7.30 pagi dan lembu keempat pada jam 8.25 pagi. Jumlah penduduk yang hadir adalah dianggarkan lebih daripada 150 orang. Lebih membanggakan hampir kesemua penduduk yang hadir berada di surau sehingga majlis selesai iaitu sehingga hampir jam 2 petang. Kerjasama penduduk yang jitu membolehkan kesemua kerja-kerja dapat diselesaikan sebelum jam 10 pagi. Sedikit kekecohan timbul ekoran daripada aduan oleh salah seorang penduduk Cina yang tinggal Lorong 4, Taman Pulai Impian kononnya terdapat bunyi bising daripada Majlis Korban ini.

POST MORTEM

1. Kekuatan

a. Perancangan majlis begitu teliti. Tiga (3) mesyuarat berjaya dilaksanakan dengan kesemua ahli mesyuarat hadir dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut. Kesemua ahli mesyuarat aktif dalam memberi pendapat untuk menjayakan majlis ini.
b. Kerjasama peserta untuk membuat bayaran seperti yang dirancangkan.
c. Ahli jawatankuasa yang sentiasa bersedia memberi khidmat dengan sukarela tanpa mengira masa dan keadaan.
d. Sikap saling memahami yang wujud di antara ahli jawatankuasa, peserta korban, AJK Surau, dan AJK KRT.

2. Kelemahan

a. Bayaran RM350 per bahagian adalah terlalu rendah menyebabkan penganjur mempunyai sumber kewangan yang terhad.
b. Pengagihan kerja kurang tepat di mana jawatankuasa pengagihan (Wanita) tidak dapat menjalankan tugas mereka ketika majlis berjalan.
c. Kumpulan peserta korban berasaskan tanda nombor lembu menyebabkan proses sembelihan lembu tergendala seketika.
d. Jawatankuasa kurang memberi tumpuan kepada Jawatankuasa Makanan menyebabkan kerja pemulaan memasak sedikit terganggu.

3. Peluang

a. Sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat.
b. Permintaan yang tinggi untuk mengambil bahagian dalam Majlis Korban pada masa akan datang.
c. Sokongan padu daripada AJK Surau dan AJK KRT.
d. Kesediaan penduduk mengambil bahagian dalam kerja-kerja gotong royong.
e. Pembekal yang memberi kerjasama dan komitmen yang tinggi.
f. Kerjasama penduduk dalam menggunakan kedudukan mereka bagi membantu melancarkan perjalanan majlis.

4. Ancaman

a. Aduan daripada penduduk bukan Islam yang gusar dengan keakraban Muslim di Taman Pulai Impian.
b. Sikap prejudis penduduk bukan Islam terhadap Islam dan segala aktiviti yang berkaitan dengan Agama Islam khususnya yang dianjurkan oleh Surau Taman Pulai Impian.
c. Tidak mendapat kerjasama dari PDRM khususnya empat(4) orang anggotanya yang dihantar untuk membantu penduduk Islam sebaliknya mereka bertindak menakut-nakutkan penduduk Islam dengan kuasa yang ada pada mereka. Lebih menyedihkan ketika penduduk menunaikan solat zohor di dalam surau, empat (4) anggota polis ini sibuk merokok dan berbual di hadapan pintu utama surau.

CADANGAN

1. Kadar bayaran korban dinaikkan dari RM350 kepada RM400. Untuk tidak membebankan peserta yang akan mengambil bahagian, bayaran ini dibuat secara ansuran sebanyak RM50 sebulan dan bayaran pertama dibuat pada Januari 2011.
2. Tumpuan kerja diberikan kepada Jawatankuasa Makanan dengan kaum wanita dilantik sebagai pembantu kepada Ketua Jawatankuasa Memasak.
3. Pengagihan daging korban dibuat oleh Jawatankuasa Sembelihan.
4. Kumpulan korban berasaskan lembu yang pertama turun dari lori bukan berasaskan tanda nombor tempahan lembu.
5. AJK Surau membeli perlatan memasak sendiri iaitu dua (2) buah periuk berdiameter 60cm, dua (2) buah periuk berdiameter 40 cm, dua (2) buah dapur, dan satu tong gas.
6. Bilangan lembu korban dinaikkan kepada 10 ekor (Maksima).
7. Memaklumkan aktiviti yang akan dilaksanakan kepada kesemua penduduk termasuk penduduk bukan Islam sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum aktiviti dilaksanakan.
8. Tidak lagi bekerjasama rapat dengan pihak PDRM memandangkan pegawai-pegawai yang dihantar oleh PDRM tidak menggambar ciri-ciri seorang Islam sebenar.

KESIMPULAN

Secara umumnya Majlis Korban Surau Taman Pulai Impian ini berjalan seperti yang dirancangkan. Penyelaras serta seluruh AJK Korban 2010 merakamkan jutaan penghargaan kepada Peserta, Penduduk, Bomba, MPS, Pembekal, Tukang Sembelih, Tukang Lapah, Tukang Masak, Tukang Cuci, Tukang Timbang, Pekerja, dan kesemua individu yang terlibat secara lansung dan tidak langsung dalam menjayakan Majlis Korban Surau Taman Pulai Impian 2010.

Sekian. Terima kasih

Zainal Abidin bin Sait
Penyelaras
Majlis Korban
Surau Taman Pulai Impian 2010

No comments: