Search This Blog

Sunday, April 15, 2012

PTD DAN PEMBANGUNAN MALAYSIA


Jika kita mengkaji perkhidmatan awam di Malaysia kita akan dapat melihat satu struktur kompleks yang meletakkan PTD sebagai tulang belakang pentadbiran kerajaan. Dalam erti kata lain, Perkhidmatan Awam Malaysia merupakan suatu jentera pentadbiran atau kuasa eksekutif dalam melaksanakan dasar-dasar dan keputusan kerajaan bagi mencapai segala objektif dan matlamat negara. Kuasa ini diperturunkan melalui Perlembagaan Persekutuan (Per. 132). 

Dalam konteks ini, Perkhidmatan Awam terdiri merangkumi Angkatan Tentera, Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-Undang, Perkhidmatan Awam Am Persekutuan, Pasukan Polis, Perkhidmatan Awam Bersama, Perkhidmatan Awam Negeri dan juga Perkhidmatan Pendidikan. Objektif utama Perkhidmatan Awam ditubuhkan adalah untuk membentuk suatu persekitaran masyarakat yang yang baik dari segi keamanan, ketenteraman, pelajaran, keadilan, kebebasan, kesihatan dan membangun dari segi ekonomi dan sosial.

Fungsi dan peranan yang pelbagai dalam perkhidmatan awam adalah untuk membantu dalam penggubalan polisi dan dasar kerajaan, menjadi penasihat kepada kerajaan, serta merancang, melaksana dan memantau dasar, program dan aktiviti kerajaan. Justeru, Perkhidmatan Awam mempunyai pelbagai jabatan, agensi dan badan yang mempunyai pengkhususan masing-masing yang mempunyai kepentingan kepada rakyat dan negara. Di dalam Perkhidmatan Awam, terdapat sebanyak 278 skim perkhidmatan, termasuklah satu perkhidmatan yang amat istimewa iaitu Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Berlandaskan sejarah PTD merupakan perkhidmatan awam terawal dan ‘premier’ yang telah bermula sejak zaman penjajahan British lagi iaitu pada 1904. Di peringkat awal PTD di kenali sebagai Malayan Civil Services (MCS). PTD telah mengalami beberapa evolusi khususnya dari segi nama berdasarkan peranan semasa. Dari  Malayan Civil Services ditukar kepada Malaysian Home and Foreign Services (MHFS) pada 1966. Pada 1971, nama Malayan Home and Foreign Services (MHFS) ini telah ditukarkan sekali lagi kepada Perkhidmatan Tadbir Diplomatik (PTD) sehinggalah ke hari ini.

Signikannya PTD dalam pembangunan negara kerana PTD sentiasa terlibat dalam setiap peringkat pembangunan negara, sejak sebelum merdeka sehinggalah ke hari ini. Peranan PTD bermula dengan peringkat pengukuhan struktur pentadbiran negara (1950an sehingga lewat 1960an) dan peringkat perlaksanaan program pembangunan infrastruktur sosial, ekonomi dan perindustrian (1970an). Pada 1960an dan 1970an juga perkhidmatan awam merupakan engine of growth kepada negara sebelum dipindahkan kepada sektor swasta, dan diteruskan pada era 1980an sehingga sekarang dengan peranan untuk bertindak sebagai pemacu dan pemandu kepada kemajuan negara.

Umumnya rakyat Malaysia lebih terfokus kepada perkataan Diplomatik dengan beranggapan tugas utama bagi PTD ini sudah pasti, tidak lain dan tidak bukan, iaitu sebagai diplomat di mana-mana kedutaan ataupun pejabat pesuruhjaya tinggi di negara-negara asing. Kebanyakan dari pemohon-pemohon juga sewaktu sesi temuduga apabila ditanyakan tentang bidang tugas PTD, pasti akan menjawab bidang tugas PTD ialah sebagai diplomat, bertugas dengan Wisma Putra, dan sentiasa ke luar negeri. Pandangan ini tidak relevan dan cetek malah terlalu sempit sedangkan bidang tugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik adalah amat luas. Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik sebenarnya mengisi pelbagai peringkat jawatan

Dalam era ini PTD mempunyai lapan (8) bidang kompetensi yang tersendiri, iaitu Hubungan Antarabangsa dan Luar Negeri, Keselamatan dan Pertahanan Negara, Pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pentadbiran dan Pembangunan Wilayah / Tanah / Daerah / Tempatan, Perancangan dan Pentadbiran Sosial/Infrastruktur, Pengurusan Sumber Manusia dan Organisasi, Pengurusan Sumber Ekonomi, dan Pengurusan Sumber Kewangan. Bidang     kompetensi ini membolehkan penjawat dalam PPTD ditempatkan di Kementerian-Kementerian, Jabatan-Jabatan Persekutuan, Pejabat-Pejabat Setiausaha Kerajaaan Negeri, Pentadbiran Kerajaan Tempatan dan terdapat juga yang ditempat dan dipinjamkan ke badan-badan berkanun dan badan-badan antarabangsa. Malah PTD adalah 5 perkhidmatan yang mempunyai bidang kopentensi yang lengkap selain Pegawai Teknologi Maklumat, Jabatan Kerja Raya, Pegawai Latihan Vokasional, dan Pegawai Perubatan.

Sehingga ke hari ini PTD telah sentiasa memegang kepimpinan utama di semua kementerian dan di pelbagai jabatan persekutuan serta sebahagian pentadbiran negeri sebagai Ketua Setiausaha, Timbalan Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Duta, dan juga Pegawai Daerah. Amanah ini telah berjaya dipegang oleh PTD sehingga rupa wajah Malaysia berubah menjadi sebuah negara yang amat disenangi, disegani, dan dihormati. Sesungguhnya, PTD sentiasa relevan dalam pembangunan Malaysia. 

Sebagai rakyat Malaysia, saya merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua PTD yang telah lama menyumbang idea dan tenaga dalam membentuk negara bangsa Malaysia. Kepada rakyat Malaysia yang bercita-cita menjadi PTD teruskan usaha murni anda. PTD memerlukan warganegara yang benar-benar layak. Terima kasih rakyat Malaysia kerana terus ingin menjadi PTD. Semakin ramai yang berniat untuk menyertai, semakin tinggi kualiti PTD. ADIOS

6 comments:

sara-dean said...

review yang menarik mengenai ptd. semakin bersemangat nak hadapi interview nanti.terima kasih doc

drzainal said...

Semoga anda diterima dalam perkhidmatan ini.

sara-dean said...

amin.insyaAllah..

Anonymous said...

ASSALAM

Anonymous said...

macamana ptd nak mentadbir perkara yang dia tak de pengalaman (ptd bukan polis, bukan tentera, bukan guru)?

drzainal said...

Pentadbiran adalah gabungan pengurusan dan kepemimpinan. Ukuran kejayaan sesebuah organisasi dalam pentadbiran adalah pencapaian organisasi itu sendiri setelah ditolak kegagalan organisasi. Sebagai contoh, pencapaian sekolah adalah bilangan murid yang berjaya ditolak dengan bilangan murid yang gagal.