Search This Blog

Wednesday, August 4, 2010

APABILA GURU DIBENAR BERPOLITIK

Salam sejahtera. Agak lama saya tidak menulis di blog ini. Sekarang agak sibuk sedikit. Lagipun tiada isu menarik untuk diperkatakan. Cumanya, baru ini, apabila KSN membenarkan guru gred DG41 hingga DG48 aktif dalam politik, maka saya tertarik untuk mengatakan sesuatu.

Pertama. Apakah tugas guru benar-benar tamat pada jam 2.00 petang? Sekiranya ini berlaku, maka KPM perlu mengkaji semula jadual ko-kurikulum yang ada sekarang. Pada masa sekarang, dalam guru tidak aktif berpolitik, aktiviti ko-korikulum hanya ibarat melepaskan 'batuk di tangga' sahaja.

Kedua. Pandaikah guru membahagikan masa? Guru adalah pendidik. Mengajar melibatkan perancangan dan aktiviti susulan. Mendidik, latihan, dan latihan perlu diperiksa. Tanpa terlibat dalam politik, guru Bahasa Inggeris anak saya di kelas 4A di sebuah sekolah rendah di Seremban hanya memeriksa kerja rumah anak saya dua (2) kali pada tahun ini. Sekali dalam bulan Januari dan sekali lagi pada bulan Mei. Peliknya, dalam seminggu guru ini memberi kerja rumah mengalahkan pelajar Master kepada anak saya. Bila sudah berpolitik, mungkin guru ini hanya menanda dua (2) kali kerja rumah para pelajarnya dalam masa 10 tahun.

Ketiga. Masihkah masyarakat menghargai guru? Dalam era hari ini, guru hanya akan dihormati sekiranya masyarakat merasakan guru tersebut perlu dihormati. Percayakah anda, dalam perkhidmatan awam, golongan yang paling ramai menjadi pencabul dan perogol kanak-kanak adalah guru! Walaupun kes ini terpencil, namun kes tetap kes. Ibarat kata pepatah 'kerana setitik nila, rosak susu sebelanga'.

Keempat. Apakah guru sebahagian dari masyarakat? Pergi ke sekolah...maka pembaca sekalian akan mendapat jawapannya. Kalau pembaca ke sekolah rendah, pembaca budiman sekalian akan mendapat jawapan untuk seumur hidup.

Kelima. Kenapa hanya guru? Memang, kadang-kadang pertauran yang diluluskan oleh Kerajaan tidak boleh difikirkan oleh manusia yang normal. Alasan yang diberikan adalah kerana guru tiada kuasa eksekutif dalam agensi kerajaan. Kalau kita lihat, semua jawatan di Gred 41 tidak mempunyai kuasa eksekutif. Lantas, apakah kebenaran yang hanya diberikan kepada guru ini mempunyai muslihat yang besar....

Keenam. Kenapa selepas gagal dapat 2/3? Pada pemimpin 2/3 adalah tanda aras untuk membentuk negara. Kegagalan mengekalkan 2/3 mungkin disebabkan guru-guru mula menentang kerajaan. Justeru, kebenaran yang diberikan ini sebagai usaha untuk menarik kembali para pendidik ke pangkuan kerajaan.

Ketujuh. Kenapa hanya sehingga ke Gred 48? Jawapannnya mudah. Dalam profession pendidikan terutamanya guru Gred 48 itu adalah satu gred yang amat besar. Namun disebalik, kebenaran tersebut, guru sebenarnya 100% menyokong kerajaan apabila sudah melebihi Gred 48. Tidak percaya? Tanya semua Pengetua Cemerlang dan Guru Pakar....

Kelapan. Kenapa KSU diberi hak memberi kebenaran? Umum telah mengetahui KSU bukan guru sebaliknya PTD dan PTD tidak boleh jadi ketua perkhidmatan kepada guru. Ketua perkhidmatan guru adalah Ketua Pengarah Pelajaran. Fenomena ini menunjukkan yang KSU lebih memahami guru dari KPP.

Kesimpulan. Usaha membenarkan guru aktif dalam politik adalah usaha yang positif. Sejarah telah membuktikan guru pernah mewarnai politik Malaysia. Guru yang menjadi politikus, telah membawa pembangunan era 70-an. Persoalan, apakah kita masih mengharapkan model pembangunan lama dalam era ini? Saya meramalkan, hanya 5% para guru yang akan aktif dalam politik dan hanya segelintir yang akan berjaya mengharunginya.

No comments: