Search This Blog

Monday, August 23, 2010

SURAU TAMAN PULAI IMPIAN DISIMBAH CAT MERAH

1. Tahun ini saya berazam untuk berjemaah solat terawih 30 malam. Sehingga malam ini iaitu 14 ramadhan, alhamdulillah saya berjaya melakukannya. Malam ke-13 ramadhan saya bersolat seperti biasa. Sembahyang tersebut diimamkan oleh Ustaz Wan. Agak menghairankan ada beberapa sebutan Ustaz Wan seperti tersalah walaupun beliau amat terkenal sebagai guru tarranum di sekitar Sikamat.

2. Sebelah pagi sewaktu hendak manghantar anak bongsu saya ke sekolah, saya lihat ada beberapa jemaah di sekitar surau berkenaan. Pada saya itu biasa, jemaah surau ini adalah antara jemaah yang sentiasa rajin ke surau. Buktinya sehingga malam 14 ramadhan, jemaah terawih masih memenuhi segenap ruang surau.

3. Sebelah tengahari sebelum mengambil anak dari sekolah, saya singgah ke Bengkel IDK. Jumpa kawan-kawan. Lantas saya diajukan soalan begini. Mengapa surau kau tu? Saya tertanya-tanya dan akhirnya dimaklumkan bahawa surau tersebut disimbah cat merah.

4. Ketika pulang dari sekolah saya singgah sebentar melihat keadaan surau tersebut. Memang terasa marah. Bahagian pintu utama disimbah cat merah dengan begitu banyak. Sementara bahagian belakang yang mengadap kiblat, dibaling dengan dua botol arak berwarna hijau. Pengerusi Surau, Ustaz Hasbi saya lihat sibuk melayan polis dan wartawan.

5. Malam sebelum itu saya bercakap dengan seorang sahabat. Beliau seorang anggota polis. Katanya begini, " Kuat sangat keset Al-Quran dipasang. Nanti marah orang lain. Dulu ada seorang. Sampai pindah". Komen saya biasalah, surau di bulan ramadhan. Perbualan tersebut berlangsung selama lebih kurang dalam 10 minit. Kemudian saya berlalu, dan terus ke surau.

6. Malam ini, selepas solat Isyak ada sedikit mesyuarat. Tujuan mesyuarat tersebut adalah untuk menghalang lebih banyak perkara buruk dilakukan ke atas surau tersebut. Malangnya tiada resolusi yang berjaya dibuat dalam mesyuarat tersebut. Saya menawarkan diri saya untuk berbincang dengan masyarakat yang tidak berpuashati dengan aktiviti surau itu. Malangnya tawaran saya tidak diterima oleh AJK Surau. Mungkin mereka takut saya bertindak agresif. Namun saya hanya ingin berbincang. Malah saya tetap tidak menyalahkan sesiapa dalam perkara ini. Pada saya ini takdir Allah atas satu kesalahan yang jemaah tidak sedari.

7. Selepas solat terawih, hampir semua jemaah mengerjakan solat hajat dan bacaan yassin. Memohon perlindungan Allah agar Rumah Allah tersebut terbendung dari segala hasad dengki dan perbuatan tercela musuh-musuh Allah. Saya amat berharap agar seluruh umat Islam di Malaysia turut sama bersembahyang hajat memohon perkara yang sama.

8. Justeru, saya menulis dalam blog ini. Saya menawarkan kepada golongan yang tidak berpuashati dengan aktiviti surau tersebut agar meletakkan komen anda dalam blog ini. Komen tersebut akan saya panjangkan kepada AJK Surau. Sekiranya komen itu logik dan siknifikan dalam mesyarakat majmuk hari ini, saya akan memohon AJK Surau mengambil tindakan yang sepatutnya. Anda tidak perlu menggunakan nama sebenar anda. Kebimbangan saya cuma satu, orang yang tidak berpuashati itu tidak membaca blog ini.

9. Akhir sekali, saya memohon kepada mereka yang berkenaan untuk berbincang dengan baik dalam menghalang daripada perkara yang tidak diingini berulang. Zaman ini, kita tidak perlu bersemuka untuk berbincang. Perbincangan on-line ini, adakalanya lebih berkesan. Percayalah, negara ini untuk kita kongsi bersama. Hanya dengan tolerensi, perkongsian ini akan berjaya.

Sekian. Salam 1Malaysia.

2 comments:

Unknown said...

Assalamualaikum, ade contact ustaz hasbi tak?

drzainal said...

Ada. Namun tidak mungkin saya siarkan dalam blog ini. Mohon maaf