Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

KEMPEN POLITIK KEDAI KOPI-SIRI AKHIR


  1. Kata pujangga, kalau senyum itu satu sedekah, maka cinta itu satu ibadah. Lantaran cinta hilang serinya tanpa senyuman manis. Begitu juga, senyum akan menjadi sedekah yang hilang makna jika cinta semakin pudar. Maka, dalam siri akhir ini, saya hanya mahu memberi senyuman apabila pembaca budiman membaca nukilan kali ini.

  2. Politik sebenarnya adalah keperluan dan bukannya kemahuan. Kita memerlukan politik dan politik memerlukan kita. Persoalannya kita sering keliru di antara keperluan dan kemahuan. Perkara yang perlu adalah syarat untuk kehidupan sementara perkara yang kita mahu adakalanya membawa bencana kepada kita. Dan kita namakan perkara tersebut tragedi.

  3. Memilih untuk menyertai politik adalah kemahuan. Kita punya banyak pilihan. Menyusur legasi kemajuan, maka kita pilih komponen BN. Beralih dari Islam kepada kebajikan, maka kita pilih PAS. Membebaskan Malaysia dari negara beraja, maka kita pilih DAP. Memperjuangkan kebebasan Anwar, maka kita pilih PKR. Kita juga ada KITA, CINTA dan seribu macam parti lagi.

  4. Namun, kalau kita yakin dengan kredibiliti kepimpinan kita, kita tubuhkan parti sendiri. Beri sahaja apa-apa nama. Contohnya kita tubuhkan parti Melayu baru kita namakan PAMBARU. Parti Melayu, Cina, India, kita namakan PAMCINDIA. Atau parti tanpa arah tujuan, kita namakan PAMTAT. Terpulang....kita punya parti, kita punya suka.

  5. Mengundi pula adalah satu keperluan. Kita mengundi calon sebenarnya, kita bukan mengundi parti yang bertanding. Walau sebenarnya calon ditentukan oleh parti tetapi arah tuju parti sebenarnya ditentukan oleh calon. Kita akan memilih calon mengikut arah tujuan kita berpandukan janji yang ditaburkan oleh parti yang bertanding. Persoalannya cuma satu, setinggi mana keyakinan kita terhadap janji yang ditaburkan? Atau apakah asas keyakinan kita itu?

  6. Demokrasi di negara kita tidak sama dengan dengan demokrasi di sebuah negara republik. Maka kalau kita salah memilih, kesannya amat berat. Kalau kita berasa was-was, maka saya cadangkan kita teruskan sahaja legasi yang ada. Memang rugi, tetapi tidak sampai merudum ke peringkat maksimum. Malah dalam keadaan tertentu, rugi sedikit adalah keuntungan yang besar!

  7. Saya cadangkan sebelum kita mengundi, maka kita kira dahulu bilangan kerusi yang ditandingi oleh parti pilihan kita bagi Parlimen dan DUN. Kita kaji berapa kemungkinan kemenangan yang bakal diperolehi. Kemudian, kita jangkakan apakah calon parti yang kita undi mampu menjadi parti majoriti di Parlimen dan DUN. Jika tidak, tak perlu undi parti tersebut.

  8. Sebelum saya akhiri siri ini, saya menyusun sepuluh jari, mohon ampun kanan dan kiri, andai ada kata bersifat caci, menebuk luka dalam di hati. Sesungguhnya dalam menukar kata menjadi makna, pasti ada bahasa menjadi nista, dalam membuat rasa terlekat di minda, pasti ada kelam menyucuk mata. Sesungguhnya saya mahu anda membaca blog ini dengan penuh rasa gembira, biar benci menjanda, biar hasad menduda, biar perasaan muak teralir ke muara.

  9. Sekian. Terima kasih kerana terus menyokong blog ini. Terus membaca blog ini, mana tahu, dalam kebosanan anda, anda jumpa sebutir permata. Wassalam.

No comments: