Search This Blog

Sunday, August 12, 2012

PAK IMAM GILAKAN SYURGA - BAH. 12

Malam itu dan malam-malam berikutnya, suasana surau agak suram. Jemaah jadi khusyuk dalam setiap solat yang didirikan. Malah, Solat Maghrib menjadi penuh. Majlis berbuka yang awalnya dirancang oleh Pak Imam juga menjadi semakin meriah. Watu kosong di antara Maghrib dan Isyak juga diisi dengan alunan indah Al-Quran atau Zikir Munajat. Terasa surau kampung itu menjadi tempat indah seperti bukan di Malaysia.

"Jom!" Ajak Abang Man Karaoke kepada dua-tiga jemaah yang baru mahu menyalakan rokok selepas berbuka. Abang Man Karaoke sejak balik dari melawat Pak Imam di hospital tempohari, setiap malam akan datang ke surau. Malah, kalau Abang Man Karaoke balik awal dari bekerja, Abang Man Karaoke akan solat Asar di surau. Abang Man Karaoke akan alunkan azan hampir setiap malam. Abang Man Karaoke akan alunkan selawat hampir setiap malam. Malah, Abang Man Karaoke akan mengetuai Zikir Munajat sehingga jam 11 malam.

"Tak apa, abang pergi lah dulu." Jawab salah seorang jamaah. Abang Man Karaoke bersalaman dengan mereka. Senyum. Abang Man Karaoke berlalu dan terus berwuduk. Tanpa berlengah, Abang Man Karaoke terus naik ke dalam surau. Dibukanya Al-Quran. Diselaknya Surah-ArRahman. Dimulakan dengan Bismillah.

"Arrahman. Allaman Insan......" Abang Man Karaoke lagukan surah indah tersebut dengan penuh kesyahduan.

Kemudian Pak Ya sampai. Hj. Hamidin sampai. Ustaz Azhar sampai. Cikgu Azli sampai. Abang Sahak H.A dan rombongan sampai. Wak J sampai. Abang Din sampai. Beratur jemaah lain sampai. Khemah yang dulunya kosong kembali penuh. Ruang solat kembali sesak. Lazimnya bila Ramadan semakin hujung, bilangan jemaah semakin kurang. Surau ini menjadi sebaliknya. Bila Ramadan dah melebihi angka 20, surau ini jadi semakin sesak.

"Ramai orang malam ni?" Tanya Abang Din.
"Dia orang suka Ustaz Azhar jadi imam kot." Jawab Pak Ya.
"Sebab ada moreh balik kot." Teka Abang Sahak H.A.
"Sebab surau ni ada barakah kot." Kata Cikgu Azli.

Satu persatu persoalan bermain difikiran Ustaz Azhar. Mengapa jemaah kembali penuh. Malah penuhnya mengalahkan jemaah di Masjid Kariah. Apakah jemaah membenci stail Pak Imam mengimamkan Solat terawih? Atau mungkin jemaah suka bila moreh kembali dihidupkan. Atau jemaah suka jamuan berbuka anjuran surau? Atau mungkin ada barakah di surau ini?

"Kalau ada barakah, mengapa barakah hadir setelah Pak Imam berada di hospital?" Bisik hati Ustaz Azhar. Puas Ustaz Azhar memikirkan sebab dan musabab. Berfikir dan terus berfikir.

Bersambung.....

No comments: