Search This Blog

Thursday, August 9, 2012

PAK IMAM GILAKAN SYURGA - BAH. 11

Pagi itu seluruh kampung dimaklumkan bahawa Pak Imam telah dihantar ke hospital oleh Hj. Hamidin iaitu suami Hjh Fatimah. Mereka  datang melawat Pak Imam pada sebelah tengahari. Waktu itu, Pak Imam dah menggigil. Panas-sejuk satu badan. Hj. Hamidin pujuk Pak Imam untuk di bawa ke hospital. Pada awalnya Pak Imam enggan. Pak Imam takut niatnya untuk memburu Lailatul Qadar pada tahun ini akan tergendala. Halimah, isteri Pak Imam turut memujuk.

"Abang ni, abang ikut la saja cakap Hj. Hamidin tu!" Rungut Halimah bila dilihatnya Pak Imam turut berdegil.
"Kalau ada rezeki abang, kat hospital tu pun abang dapat Lailatul Qadar." Pujuk Halimah.

Lama acara pujuk memujuk berlaku. Akhirnya selepas Zohor Pak Imam pun dihantar ke hospital oleh Hj. Hamidin.

Tengahari itu, Ustaz Azhar dan Abang Man Karaoke mengetaur lawatan ke hospital. Abang Man Karaoke bawa 5 orang. Ustaz Azhar bawa 5 orang. Pak Imam mesti dilawati. Pak Imam mesti diziarahi. Pak Imam walaupun kadang-kadang memeningkan kepala penduduk kampung, tapi Pak Imam banyak jasa. Tanpa Pak Imam tak akan ada surau. Pak Imam cukup bangga dengan usahanya memungut derma sehingga terdirinya surau di kampung itu. Pak Imam juga wujudkan tabung khairat kematian. Pak Imam hubungi Kastam, mohon MPV rampasan untuk dijadikan Kereta Jenazah. Bila pihak Kastam hantar Toyota Estima, Pak Imam senyum sampai ke telinga. Pak Imam bangga. Penduduk kampung bangga. Hanya surau kampung ini sahaja yang gunakan Estima sebagai kereta jenazah. Masjid kariah pun pakai Nissan C20 tahun 1985.

"Apa khabar Pak Imam?" Tanya Abang Man Karaoke sebaik sahaja tiba. Pak Imam diam. Matanya memandang kepada Abang Man Karaoke dan rombongan kampung. Nampak seperti Pak Imam tak mampu untuk bersuara. Abang Man Karaoke letak tangannya di dahi Pak Imam. Panas. Memang panas. Malah sangat panas.

"Sikit sahaja ni. Esok atau lusa mesti boleh keluar ni." Pujuk Abang Man Karaoke. Dalam hatinya, Abang Man Karaoke tahu, paling kurang habis raya baru Pak Imam boleh balik rumah.
"Kami harap Pak Imam cepat sembuh. Kalau tak ada Pak Imam, Terawih rasa macam tak jadi la." Seloroh Abang Man Karaoke. Pak Imam senyum. Pak Imam memang kalah dengan pujian. Pernah Pak Ya puji bacaan Pak Imam macam Ismail Hashim. Satu surau Pak Imam belanja roti telur di kedai mamak. Itulah Pak Imam. Nak bagi Pak Imam senyum mudah. Puji. Puji walaupun tak betul. Pak Imam akan senyum. Pak Imam akan kembang.

"Abang Man.." Perlahan Pak Imam bersuara. Macam berbisik. Abang Man Karaoke dekatkan telinganya dengan mulut Pak Imam.

"Jangan lupa ajak orang kampung buru Lailatul Qadar." Bisik Pak Imam. Abang Man Karaoke angguk. Dua tiga kali Abang Man Karaoke angguk. Angguk dan angguk lagi. Kemudian, rombongan orang kampung pun nak beransur pergi. Pak Imam pegang tangan Abang Man Karaoke. Abang Man Karaoke datang dekat dengan Pak Imam.

"Tolong wudukkan saya. Asar dah ni." Bisik Pak Imam. Abang Man Karaoke terus papah Pak Imam. Pak Ya dan Ustaz Azhar membantu. Lepas selesai wuduk Abang Man Karaoke dudukkan Pak Imam mengadap Kiblat. Abang Man Karaoke terus Qamat. Rombongan kampung petang tersebut solat Asar masih diimamkan oleh Pak Imam di hospital itu. Selesai solat Abang Man Karaoke bersalam dengan Pak Imam. Semua yang datang turut bersalam dengan Pak Imam. Dua tiga titik air mata menitis melalui pipi tua Abang Man Karaoke.

"Jangan lupa buru Lailatil Qadar." Pesan Pak Imam lagi. Rombongan pun berlalu pergi. Abang Man Karaoke asyik menoleh ke arah Pak Imam. Berjalan dan menoleh. Abang Man Karaoke terus buat begitu sehingga Pak Imam hilang dari pandangan.

Dalam perjalanan pulang ke kampung, setiap kereta yang bergerak dari hospital ke kampung itu sepi dari kata-kata. Semuanya khusyuk memikirkan pesan Pak Imam.

Bersambung.....

No comments: