Search This Blog

Wednesday, October 24, 2012

AES: Mengupas Kebenaran 2


Kelebihan-Kelebihan AES
Kita perlu diingatkan sekali lagi tentang tujuan dan kelebihan-kelebihan sistem ini.
AES membawa banyak kelebihan-kelebihan, selain daripada objektif utamanya untuk memastikan keselamatan setiap pengguna-pengguna jalanraya. Eloklah kita diingatkan bahawa AES bukanlah sebuah sistem di mana kamera-kamera tersembunyi digunakan oleh pegawai-pegawai polis trafik yang terpaksa bersembunyi di celah semak samun sepanjang lebuhraya-lebuhraya kita. Papan-papan tanda amaran diletakkan berdekatan lokasi-lokasi AES untuk mengingatkan kita agar mematuhi undang-undang. Gambar-gambar kenderaan serta nombor plet pesalah-pesalah akan diproses di pusat kawalan AES dan akan diserahkan kepada JPJ untuk pengeluaran denda atau saman.
Apa yang membingungkan lagi adalah sikap sesetengah anggota masyarakat yang menolak AES sedangkan ianya adalah sebuah sistem yang mengurangkan kebergantungan terhadap pihak polis dalam pengeluaran saman, ini bermakna kita dapat mengurangkan atau menghapuskan rasuah dalam kalangan anggota polis trafik. Bukankah ini apa yang kita aspirasikan bersama? Kita kerap menyelar pihak polis dan menuduh mereka mengamalkan rasuah, dan dengan tiba-tiba, kita menolak pula sebuah sistem yang mampu mengurangkan atau menghapuskan amalan rasuah. Kita menentang amalan rasuah namun pada masa yang sama kita tidak berasa bersalah apabila kita melanggar undang-undang jalanraya?
Satu lagi aspek yang bagus tentang AES adalah ianya membantu mengurangkan jumlah kakitangan yang melaksanakan tugas-tugas ini secara manual sebelum ini, sebagai contoh pegawai-pegawai polis yang bersembunyi di celah semak-samun. Mereka boleh ditugaskan untuk melaksanakan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang lebih membawa nilai tambahan sebagai contoh membantu mengurangkan kesesakan lalulintas di sekitar bandaraya. Memang kita tidak suka diperhatikan sewaktu kita memandu, kita juga perlu tahu bahawa pegawai-pegawai polis itu pun tidak suka bersembunyi untuk menangkap anda. Mereka juga ada tugas-tugas lain.
AES mempertingkatkan keberkesanan penguatkuasaan trafik melalui sebuah sistem yang berfungsi 24 jam, di bawah setiap jenis cuaca atau keadaan. Ia juga tidak mendiskriminasi, kerana tidak wujud sebarang interaksi peribadi di antara sistem ini dan pesalah-pesalah, dan ia juga tidak mendiskriminasi antara kenderaan-kenderaan persendirian, komersil mahukan awam.
AES juga mensasar untuk meningkatkan tahap PERCEPTION OF BEING CAUGHT (POBC) dalam kalangan pengguna-pengguna jalanraya Malaysia demi mengurangkan kadar kemalangan jalanraya. Biasanya, kadar POBC dalam kalangan pengguna jalanraya tempatan adalah 25 peratus pada hari-hari biasa dan 50 peratus pada musim-musim perayaan apabila kempen-kempen keselamatan jalanraya seperti Ops Sikap dijalankan.
Di negara-negara maju di mana pengguna-pengguna jalanraya lebih berdisiplin dan berpengetahuan, kadar POBC mereka adalah di antara 80-90 peratus. Kita masih lagi jauh di belakang, namun kita sedang berada di landasan yang betul. Kita tunggu dan lihat saja apa akan berlaku apabila lebih banyak kamera lagi dipasang di kesemua 817 kawasan-kawasan "blackspot" di seluruh negara.

No comments: