Search This Blog

Monday, June 16, 2014

PESTA IBADAH DATANG LAGI - 1

"Lambat sungguh hari bergerak. Baru Nisfu Syaaban." Keluh Pak Aji Baharom. Dah lama Pak Aji Baharom menantikan berakhirnya bulan Syaaban ini. Malah Pak Aji Baharom telah mula membaca Al-Quran setiap kali selepas solat fardu. Saban waktu pula, Pak Aji Baharum akan ke surau untuk bersolat jemaah.

"Makin lama makin kurang pula jemaah ni." Keluh Pak Aji Baharum kepada Lebai Rosli.
"Takpa kot Pak Aji. Bila posa mai sat lagi, berkerumunlah depa mai surau." Jawab Lebai Rosli yang begitu pekat bahasa Kedahnya.
"Ni dah nak Maghrib ni, kita berdua je ni. Imam pun tak datang lagi." Pak Aji Baharom terus mengeluh.

Lebai Rosli terus berwuduk. Tak dipedulikannya keluhan Pak Aji Baharom. Selepas berwuduk, Lebai Rosli terus hidupkan pembesar suara. Masuk sahaja waktu, Lebai Rosli terus berselawat. Selang dua tiga saat, maka Lebai Rosli pun laungkan azan.

"Allahu Akbar.....Alllahu Akbar..." Mendayu suara Lebai Rosli menahan getaran dan irama indah tersebut. Satu taman bergema suara Lebai Rosli. Anak-anak kecil berlari masuk ke dalam rumah. Cina dan India juga masuk dan menutup pintu. Mungkin untuk mengelak bisingnya laungan Azan. Atau mungkin juga hati mereka tersentuh dengan kelunakan suara Lebai Rosli.

Kucing-kucing liar yang berlari ke sana ke sini tiba-tiba terhenti dan diam membatu. Anjing juga berhenti dari menyalak. Nyamuk aedes, serangga, dan binatang-binatang lain juga semua diam dari sebarang aktiviti. Semua diam. Semua terpukau dengan kelunakan Azan Lebai Rosli.

Kemuadian datang seorang jemaah, Din Mamak. Datang lagi Cikgu Ya. Datang lagi Pak Din Kilang. Datang lagi Pak Ngah Jais. Datang dan terus datang. Jemaah terakhir yang datang adalah Mi Askar Pencen. Semua jemaah tunggu. Tunggu lagi dan tunggu lagi. Semua jemaah tunggu Pak Imam. Sehingga hampir jam lapan, Lebai Rosli bangun dan Qamat.....

No comments: