Search This Blog

Monday, June 16, 2014

PESTA IBADAH DATANG LAGI 2

Hari itu Pak Aji Baharom yang mengimamkan solat Maghrib. Pak Aji Baharom baca surah pendek-pendek sahaja. Tiga rakaat selesai tak sampai 5 minit. Lepas salam terus baca fatihah. Kemudian terus baca doa ringkas. Seperti biasa habis sahaja doa, semua jemaah bersalam-salaman sambil berselawat. Kemudian dua tiga jemaah akan buat solat sunat.

"Makin lama makin kurang jemaah kita ni." Kata Cikgu Ya
"Maklumlah tengah tahun, mungkin ramai yang sibuk kot." Tambah Cikgu Ya. Tak seorang pun yang respon. Cikgu Ya memang selalu solat di surau. Subuh pun Cikgu Ya solat di surau. Pernah suatu hari Cikgu Ya datang untuk solat Subuh. Cikgu Ya datang awal. Cikgu Ya Azan. Tunggu dan tunggu sampai jam 6.45 pagi. Seorang jemaah pun tak datang. Pak Imam dan beberapa Ustaz pun tak datang. Akhirnya Cikgu Ya solat sendirian.

"Biasalah bang" Lama kemudian baru Din Mamak jawab.
"Surau banyak sangat. Satu taman satu surau. Tak pandai nak kongsi langsung." Tambah Din Mamak lagi.
Memang betul kawasan sini banyak surau. Malah surau pula besar-besar. Bila azan terdengar alunan yang sahut menyahut. Kadang-kadang irama itu amat indah. Hingga kita sendiri pun sukar untuk memilih ke surau mana.

Isyak pun semakin hampir. Lepas Isyak Cikgu Ya ajak semua jemaah bermesyuarat untuk buat persediaan sambut Ramadan. Semua jemaah diminta turut serta. Biasanya sepanjang Ramadan jemaah sesak ke surau. Terutama sekali pada minggu pertama. Cikgu Ya mahu tahun ini, Ramadan menjadi pesta ibadah terhebat. Pesta yang bakal diingat dan dirindui oleh semua saudara Muslim.

Dari jauh nampak Abang Zack. Mamat rock yang sekali sekala datang surau. Bila ada mesyuarat Abang Zack pasti datang. Pasti bagi idea. Kekadang beri sumbangan duit. Abang Zack sporting. Umur dah dekat 60. Masih bergaya. Suaranya garau. Masih tampan. Masih romatis dengan Kak Zaharah, isterinya. Cucu dah banyak, tapi Abang Zack masih menonton wayang dengan Kak Zaharah.


No comments: