Search This Blog

Tuesday, July 22, 2014

PESTA IBADAH DATANG LAGI - AKHIR

Sabtu, 26 Julai 2014, malam terakhir untuk seluruh ahli kariah menunaikan solat sunat Tarawih berjemaah. Majlis berbuka di surau tadi dibiayai oleh Puan Isnaini sebagai membayar fidyahnya yang tertangguh selama ini. Sekitar surau penuh sesak. Khemah yang sedia ada tidak dapat menampung kehadiran jemaah yang begitu ramai. Orang ramai yang lalu lalang kehairanan. Surau ini menyimpang dari kebiasaan. Penuh dan sesak di penghujung Ramadan.

Pastinya malam ini Ustaz Hasbul akan menjadi Imam. Ketika majlis berbuka tadi, Leman Felda yang bacakan doa. Solihin yang jadi pengacara. Suhaimi KB yang jadi orang pangkal. Pak Aji Baharum duduk sahaja. Matanya memandang ke sekeliling arah. Pak Aji Baharum amat bangga dengan ahli kariahnya.

Kak Ani Bee dengan anak-anaknya datang dengan pakaian serba baru. Puan Isnanini dan Rosmie yang mengiringi keluarga Kak Aini Bee. Bila anak-anak Kak Aini Bee berjumpa Leman Felda, lantas mereka terus bersalam, mencium tangan dan memeluk Leman Felda. Begitu juga bila mereka berjumpa dengan Solihin.

Selepas solat Isyak, Lebai Sahak terus mengalunkan selawat tanda Tarawih akan bermula. Lepas dua rakaat sambung dua rakaat. Kemudian doa. Sambung semula dua rakaat dan dua rakaat. Doa lagi. Kemudian dua rakaat witir. Sambung satu rakaat witir berserta doa qunut nazilah. Salam dan soalatpun berakhir. Ustaz Hasbul memulakan bacaan doa. Mula-mula doa dalam Bahasa Arab. Kemudian ustaz Hasbul diam seketika..seasana hening.

"Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim" Sambung doa Ustaz Hasbul dalam Bahasa Melayu.
"Amin" jawab semua makmum.
"Janganlah kau letakkan kami dalam tiga kumpulan yang rugi dalam bulan mulia ini Ya Allah." Doa disambung.
"Justeru Ya Rahim, kau berikanlah pengampunanMu kepada kami." Tiga kali Ustaz Hasbul mengulangi doa tersebut.
"Pengampunan dari dosa-dosa yang kami sedar dan yang kami tidak sedar." Sambung Ustaz Hasbul. Perkataan Amin dari makmum semakin perlahan.
"Pengampunan yang akan memberi rahmat Ramadan kepada kami. Nescaya, jika kami tidak peroleh pengampunanMu Ya Allah, maka sia-sialah Ramadan kami." seakan sebak Ustaz Hasbul menghabiskan ayat tersebut.

"Ya Rahim, lembutkanlah lidah kami untuk sentiasa berselawat ke atas KekasihMu." Tambah Ustaz Hasbul.
"Semaikan dalam jiwa kami rasa kasih, kecintaan dan kerinduan kepada Rasulallah. Agar dalam jiwa kami, dalam gerak kami, dalam kata kami, dalam minda kami, dan dalam roh kami ada selawat, ada cinta, ada kasih dan ada kerinduan kepada Rasulallah." Doa itu disambut dengan Amin yang semakin perlahan. Seasana semakin syahdu. Doa tersebut seperti meresap dalam minda dan jiwa setiap makmum.

"Ya Zal Jalal Li Wal Ikram." Sambung Ustaz Hasbul.
"Kau berilah peluang kepada kami untuk berbakti kepada kedua ibubapa kami." Tambah Ustaz Hasbul.
"Jika mereka masih masih hidup, kau bukakanlah hati kami untuk sentiasa mengingati mereka, berbakti, dan membuatkan mereka gembira. Jadilah kami ini nak yang soleh kepada mereka." Tambah Ustaz Hasbul.
"Seandainya mereka telah kembali, Kau bukalah hati kami untuk sentiasa berdoa dan bersedekah ayat-ayatMu kepada mereka. Golonglah kami sebagai anak yang soleh." Tambah Ustaz Hasbul.

"Ya Allah panjangkan usia kami agar kami dapat terus bertemu rahmat RamdanMu....." Ustaz Hasbul teruskan bacaan doa. Kemudian, sebagai doa penutup, Ustaz Hasbul akan membaca doa dalam Bahasa Arab. Apabila doa telah berakhir, semua jemaah masih kekal duduk di dalam saf. Masih termangu. Masih kaku. Semua seperti begitu sedih dengan pemergian Ramadan. Kerana bagi mereka semua, tiada pesta yang lebih agung daripada Pesta Ibadah di Bulan Ramadan.

Tamat.

No comments: