Search This Blog

Thursday, February 26, 2015

MELAYU : SATU KAJIAN WARIS NISANTARA 2

  1. Melayu mempunyai titik perjalanan yang paling panjang. Dalam sejarah Cina ( 664 M ) telah disebut kerajaan Mo-lo-yue ( juga disebut Mo-lau-yu, Wulai-yu, Ma-lai-ren, Ma-la-yu, Ma-li-yi-er dan Wu-ren ) yang berada di sekitar Selat Melaka. 
  2. Ada yang menyatakan kerajaan itu adalah kerajaan Jambi. Menurut I-Tsing, kerajaan Melayu ketika itu adalah kerajaan merdeka, namun setelah beliau kembali dari Nalanda ( India ) pada tahun 685 M, kerajaan tersebut telah ditakluki kerajaan Sriwijaya. Sriwijaya adalah sebuah kuasa besar ( lih. Djazlam Zainal : Melayu Sumatera Selatan ) berbanding Kalingga, Kediri, Singasari, Majapahit yang bersifat wilayah. Dari wilayah inilah asal usul Melayu yang ketika itu bersifat kejawaan ( sebelum Islam ) derngan pengaruh Hindu-Buddha.
  3. Selepas Islam bertapak, Melayu berpusat di Melaka, Pasai, Aceh, Giri, Demak, Bentan dan Perlak menjadi faktor penyatuan dari segi rohani dan ukhwah.
  4. Ada yang mendakwa Wilayah Melayu menjadi gemilang setelah Islam sebagai sumber rohani. Di Melaka, setelah Parameswara memeluk Islam dan bergelar Sultan Muhamad Shah, Melaka memuncak perkembangannya menggantikan Pasai yang terlebih dahulu sebagai wilayah Islam tetapi malap setelah diserang Majapahit pada tahun 1365. 
  5. Walaubagaimanapun,  ada pula pendapat lain mengatakan Raja Melaka yang pertama memeluk Islam ialah Raja Kecil Besar dan nama Islamnya Sultan Muhamad yang diIslamkan oleh Syed Abdul Aziz dari Jedah pada tahun 1414 M. 
  6. Ada teori lain yang lebih kukuh menunjukkan Parameswara telahpun menggunakan nama Islamnya Iskandar Shah sejak dari Temasik lagi, sedangkan baginda belum Islam ketika itu.
  7. Motif pengislaman Parameswara selain kepercayaan dan kebenaran agama tersebut, juga dipengaruhi unsur politik, kuasa, perdagangan dan pembangunan agama Islam itu sendiri.
  8. Dengan Islamnya baginda, hal ini tentu akan menarik lebih banyak saudagar Islam ke Melaka sekaligus Melaka akan mendapat sokongan dari kerajaan Pasai dan lain-lain negeri Islam di Sumatera. Hal ini penting kerana sebagai sebuah perkampungan nelayan, Melaka dibentuk menjadi sebuah negara maratim yang bergantung hidup barangan makanan dari Pedir dan Pasai. Kemajuan memerlukan hubungan antarabangsa yang lebih rapat terutamanya persaudaraan Islam.
  9. Persaudaraan boleh diluaskan melalui ikatan perkahwinan. Seterusnya dengan Islam juga perkawinan dapat dilangsungkan merentasi negeri Pahang, Siak, Kampar, Inderagiri dan Jambi. Perkawinan pada zaman itu seakan komoditi dan alat silaturahmi serta diplomasi antarabangsa yang paling berkesan, Malah negeri-negeri jauh dari lingkaran ini seperti Brunei dan Kalimantan dapat dirapatkan melalui perdagangan dan perkawinan. Mengenai Parameswara, baginda adalah anak raja dari Palembang yang melarikan diri ke Temasik setelah gagal dalam perebutan kuasa kerajaan Sumatera antara Virabumi dari Jawa Timur dengan Vikrama dari Majapahit. Di Temasik, Parameswara membunuh Tamagi yang menjadi wakil raja Siam dan menjadikan dirinya raja Temasik. Keluarga Tamagi yang mempunyai persaudaraan dengan raja Pahang dan Patani mahu Parameswara dibunuh. Parameswara bersembunyi di Selitar di utara Temasik lalu meloloskan diri ke Muar dan akhirnya berhenti di sebatang pohon. Pohon inilah pohon melaka yang menjadi titik tolak pembukaan Melaka. Dari sebuah penempatan nelayan, ia menjadi empayar Melayu dan emporium perdagangan yang masyhur. Ini ditambah dengan syiar Islam yang menjadi asas kanun undang-undang pemerintahan Melaka.
Bersambung....

No comments: