Search This Blog

Tuesday, July 14, 2015

MENYENTUH SYAWAL 2015

  1. Syawal tidak datang sendiri. Sebaliknya Syawal dipakejkan bersama Ramadan, Zulkaedah dan Zulhijjah. Sebenarnya kita tidak pernah fikir dan terfikir tentang kesinambungan keempat-empat bulan tersebut.
  2.  Ramadan itu ada 3 fasa. Rahmat, pengampunan, dan tertutupnya neraka. Kemuliaan Ramadan tersebut bukan kerana puasanya, sebaliknya kemuliaan puasa itu kerana datangnya Ramadan.
  3. Melihat kemuliaan Ramadan melalui Al-Quran amat jelas menggambarkan kemuliaannya. Ada ayat yang hanya menerangkan sebulan Ramadan. Ada ayat yang menerangkan kefarduan berpuasa. Dan ada ayat yang menerangkan kehebatan malam Lailatul Qadar. Begitu hebatnya Ramadan dalam islam kepada umatnya.
  4. Kerana itu Ramadan adalah penghapus dosa. Kenapa? Ramadan adalah bulan yang sepanjang siangnya Umat Islam beribadah iaitu berpuasa. Malamnya pula umat Islam amat ghairah melakukan ibadah sunat termasuk tidur untuk mendapatkan pahala sahur. Maka, jumlah ibadah dalam ukuran masa hamper merangkumi 24 jam kehidupan atau 100%. Bayangkanlah sepanjang 30 hari cara hidup yang sama menjadi rutin. Andai pahala tersebut boleh diukur berdasarkan jumlah masa, pasti jumlah ini melampaui setahun nilaian ibadah pada bulan-bulan yang lain.
  5.  Kemudian ada satu malam yang sama dengan 1000 bulan. Malam tersebut dipanggil Lailatul Qadar. Umat Islam yang beribadah setiap malam, pasti akan dapat Lailatul Qadar tersebut. Bayangkan jika kita hanya sembahyang terawih 8 rakaat dan witir 3 rakaat. Untuk malam itu sahaja kita dapat 330,000 rakaat pahala solat. Ingat, sepanjang Ramadan, ibadah sunat dinaiktaraf menjadi ibadah fardu.
  6.  Ini bersamaan 19,411 hari atau 53 tahun solat fardu tanpa ponteng. Bayangkan jika anda berjamaah, pastinya semua angka tadi akan digandakan dengan 27. Syaratnya setiap malam kita mengerjakan solat sunat tarawih. Jangan ada satu malam pun kita tinggalkan ibadah tersebut.
  7.  Kerana itu kita sambut Syawal dengan Aidulfitri. Kembali kepada fitrah sebagai orang yang tidak lagi berdosa. Secara matematiknya, kita sambut Syawal dengan hampir 60 tahun mengerjakan ibadah. Jelaskan, mengapa Syawal dan Aidulfitri bulan kemenangan Umat Islam.
  8.   Dalam Syawal ada puasa 6. Puasa yang setara dengan setahun berpuasa. Jika kita mengamalkan puasa 6, rentak Ramadan akan kekal sehingga bulan Zulkaedah. Jadinya, jika kita dijemput Allah untuk menunaikan haji pada Zulhijjah, kita akan ke Tanah Suci masih sebagai insan yang tidak berdosa.
  9.  Allah menurunkan Ramadan sebagai rahmat. Dalam Ramadan diturunkan Al-Quran. Diwajibkan berpuasa dan berzakat fitrah. Sebabnya Allah Maha Mengetahui. Allah mengetahui, umatnya perlukan satu lonjakan perdana sebagai penghapus dosa. Maka, Allah turunkan Ramadan untuk kita salami dan hayati dengan ibadah dan syukur kita kepada Allah. Semua orang berdosa. Saya juga berdosa.
  10.  SAYA AMBIL KESEMPATAN INI UNTUK SAMA-SAMA MENGAJAK PEMBACA SEMUA BUKAN SEKADAR MELIHAT SYAWAL, TETAPI MENYENTUH SYAWAL SEBAGAI INSAN YANG TIDAK LAGI BERDOSA. SALAM AIDULFITRI. SAYA MOHON MAAF ZAHIR DAN BATIN.

No comments: