Search This Blog

Friday, March 28, 2008

NILAI 2/3 KEPADA RAKYAT MALAYSIA

PRU12 telah menggemparkan seluruh rakyat Malaysia. Kegagalan BN mendapat majoriti 2/3 lebih diperdebatkan berbanding kejayaan pakatan pembangkang mendapat 82 kerusi Parlimen dan 5 buah negeri. Pemimpin BN tenggelam punca dalam mencari penyebab utama kegagalan ini. Mungkinkah harga minyak, harga barangan yang melambung naik dan kenaikkan segala tarif menjadi penyumbang utama? Atau ada sebab-sebab lain yang menjadi gambaran telah wujud krisis kepimpinan BN yang menyebabkan ahli BN sendiri menolak BN?

Jika kita meneliti kenaikkan harga minyak, Malaysia adalah antara negara pengeluar yang mengenakan harga minyak paling tinggi kepada rakyatnya sendiri walaupun harga ini sedikit murah jika dibandingkan dengan negara-negara jiran. Harga minyak adalah menjadi penentu kepada harga barang barang keperluan lain. Jika harga minyak naik, alasan peningkatan kos akan menyebabkan harga barang-barang lain menjadi tinggi. Malangnya jika, kerajaan mengurangkan harga minyak, harga barang-barang lain tetap tidak akan turun. Jadi, keputusan menaikkan harga minyak adalah satu keputusan yang amat tidak tepat jika diukur untuk meraih sokongan rakyat. Kerana itu, apabila pakatan pembangkang menggunakan isu ini, ia amat menjadi amat siknifikan untuk rakyat menggunakan kuasa mereka.

Isu kedua adalah bonus untuk kakitangan awam. Malaysia mempunyai hampir 1.2 juta kakitangan. Bonus bermula awal tahun 90an. Semenjak itu, bonus telah dimasukkan sebagai akaun terima kakitangan awam. Keengganan KSN berbincang dengan PM tentang isu ini menyebabkan rakyat yang berharap menjadi duka. Apa yang telah diterima sekian tahun, tidak diberikan. Rakyat bukan berasa tidak diberi bonus, tetapi merasakan bonus mereka dirampas. Apatah lagi ada berita yang menyatakan kakitangan Petronas mendapat bonus yang amat tinggi. Dengan ini rakyat merasakan bonus kakitangan Petronas adalah hasil dari kenaikkan harga minyak yang terpaksa mereka pikul. Bonus walaupun kecil, tapi perkara kecil seringkali membawa impak yang besar.

Perlis, Melaka dan Johor tidak tergugat? Kenapa? Perlis adalah sebuah negeri kecil. Maka gerak-geri pemimpin mudah dinilai oleh rakyat. Maka, Shahidan yang amat terkenal dengan prinsip mesra rakyat, menjadi pilihan orang-orang Perlis. Malaka adalah negeri yang sentiasa berada dalam kedamaian. Lagipun, orang-orang Melaka tiada pilihan. BN yang telah mempunyai rekod pemerintahan cemerlang, atau pembangkang yang belum tahu di mana hendak bermula. Johor adalah tempat UMNO bermula. UMNO di Johor menjadi begitu matang. Tiada krisis kepimpinan dan tiada perebutan kuasa. Satu persamaan antara Perlis, Melaka dan Johor adalah majoriti kerusi BN dipertandingkan oleh calon UMNO. Kalau dihitung bilangan kerusi, UMNO tidak tewas, yang tewas adalah BN.

Pengaruh negara jiran juga membuka mata rakyat. Thailand sentiasa bertukar pemerintah, namun kemajuannya setanding Malaysia. Filipina juga sudah beberapa kali bertukar pemerintah, namun rakyat tetap tidak berubah. Begitu juga Indonesia, India, dan beberapa buah negara lain. Pemimpin yang sering bertukar-tukar tidak mendatangkan kesan kepada kemajuan negara. Malah kekerapan pemimpin ditukar akan menjamin ketelusan urustadbir sesebuah kerajaan. Mahu atau tidak mahu, maklumat ini tersebar melalui Internet kepada semua rakyat Malaysia.

Kalau diamati Malaysia sekarang tidak mengalami krisis kepimpinan. Realitinya, Malaysia sedang rancak membangun. Malangnya pembangunan ini mendatang musibah kepada sebahagian besar rakyat. Apabila PM mengumumkan yuran sekolah dimansuhkan, pihak pengurusan sekolah berlumba-lumba menaikkan yuran sekolah. Akibatnya apabila sesi persekolah 2008 dibuka, yuran sekolah menjadi isu utama. Tindakan Kementerian Pelajaran juga salah. Sepatutnya semua sekolah diarahkan tidak memungut sebarang yuran termasuk yuran PIBG untuk menunjukkan kerajaan benar-benar komited dalam membantu rakyat. Sama ada secara sengaja atau tidak, para pendidik dilihat sengaja mahu menjatuhkan kerajaan BN dengan memutarbelitkan isu yuran sekolah.

Banyak lagi isu lain yang turut menjadi penyumbang kepada keputusan PRU12 yang lalu. Sekiranya anda mempunyai pendapat, hantarkan komen anda ke dalam blog ini.

No comments: