- Tanpa aku sedari aku telah melalui puasa sehari demi sehari. Rupa-rupanya aku telah menamatkan 10 hari puasa. Sepuluh hari yang aku sangkakan akan membuat aku sengsara, rupa-rupanya telah mengajar aku erti kenikmatan dalam beribadah.
- Hari ini adalah hari kesebelas aku berpuasa. Aku rasakan hari ini agak semacam. Suasana dingin yang bergerak bersama hembusan angin pagi seakan menyamankan aku. Cuma dari selepas sahur hingga jam 1 petang ini aku masih lagi gagal mendapat walau seorang penumpang.
- Aku terus memandu perlahan-lahan. Kemudian aku berhenti di Masjid Besi, Putrajaya. Berehat seketika sebelum menunggu solat Zohor tiba. Selepas berwuduk, aku masuk ke dewan masjid dan membaca Al-Quran.
- Aku membaca Surah Al-Waaqi'ah, Juzuk 27, halaman 534. Selesai membaca aku meneliti terjemahan surah tersebut. Masya Allah, alangkah agungnya Allah dalam mengadili umatNya. Ada tiga golongan yang dihimpun di Mahsyar.
- Lantas aku terus berdoa..."Ya..Allah andainya aku gagal berada di barisan depan di MahsyarMu, Kau letakkan aku di bahagian kanan...dan andai aku masih tidak layak di barisan kanan...janganlah kau ambil nyawaku selagi namaku tertulis di bahagian kiri."
- Sayup-sayup aku dengar laungan Amin bersahut-sahutan. Aku ulang lagi membaca doa tersebut. Semakin berulang kubaca, semakin kuat laungan kalimah Amin yang kedengar. Semakin lama aku rasakan laungan kalimah Amin itu seperti bersatu dengan doaku.
- Akhirnya aku berpaling ke belakang setelah selesai aku berdoa. Hairan, tidak ada seorang pun manusia di dalam masjid yang tersergam ini. Hanya aku, tiang-tiang besar, dan mimbar yang berukir indah. Tiada jemaah lain, tiada imam, tiada bilal, dan yang ada hanya seorang Muallaf kerdil yang sedang berpuasa.
- Aku laungkan azan kerana zohor sentiasa tiba tepat pada masanya. Kemudian aku solat sunat. Selepas 15 minit menunggu, namun tiada jemaah lain yang tiba, aku terus solat Zohor. Aku terus lafaz niat dan mengangkat takbir...Allah hu-Akbar!
- Belumpun sempat aku membaca Fatihah, bahuku di sentuh orang. Makmum masbuk mungkin. Lantas aku menukar niat..menjadi Imam. Aku teruskan solat dalam kesyukuran...syukur kerana ada jemaah yang menjemaahkan solat mereka dalam rumah Allah yang indah ini. Selepas salam kedua....
- Bersambung...
Search This Blog
Wednesday, August 10, 2011
MUALLAF YANG BERPUASA 5
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment