Search This Blog

Thursday, November 3, 2011

PTD - SATU NAMA YANG DICEMBURUI



  1. Saya jadi terkejut apabila saya membaca beberapa komen rakan-rakan facebook KPPA dalam facebook beliau yang menghentam PTD. Namun cara KPPA menjelaskan membuktikan bahawa beliau seorang yang begitu hebat. Jawapannya tidak membela PTD, sebaliknya lebih ke arah memartabatkan sektor awam dan penjawat awam.


  2. Antara tuduhan utama adalah PTD sentiasa mendapat keutamaan sama ada dari segi kenaikkan pangkat, bilangan JUSA, peninggian martabat, kenaikkan gaji yang mendadak, dan mengisi jawatan-jawatan strategik dalam sektor awam. KPPA telah meminta rakan-rakan facebook beliau menjaga adab ketika berdebat. Beliau tidak menyebelahi mana-mana pihak.


  3. Kalau kita lihat, KPPA adalah seorang penjawat awam bertaraf Turus yang menjawab dan menggunakan media baru dalam menangani kehendak pelanggan. Jarang kita temui Turus lain yang memainkan peranan yang sama. KPPA adalah seorang PTD. Secara tidak langsung KPPA telah menunjukkan contohnya yang baik sebagai PTD. Malah sikap role model ini bukan hanya ditujukan kepada PTD malah kepada seluruh penjawat awam.


  4. Rata-rata yang mencemburui PTD adalah dari golongan perkhidmatan yang lambat tempoh naik pangkatnya. Saya dulu adalah seorang guru dari tahun 1991-1995. Ketika itu, saya tidak pernah ambil tahu apa itu PTD? Saya gembira dengan tugas saya. Saya dapat dua anugerah perdana. JICA award, dan hadiah penulisan berkaitan perguruan.


  5. Pada tahun 1995, Timbalan YDP PIBG sekolah saya adalah seorang PTD. Cara beliau mengendalikan mesyuarat begitu hebat. Saya menjadi setiausaha PIBG. Ketika itu saya rasa mesyuarat benar-benar membantu perjalanan organisasi. Jauh berbeza jika dikendalikan oleh YDP iaitu seorang Pensyarah, apalagi Pengetua saya ketika itu.


  6. Lantas saya bertanya bagaimana untuk menjadi PTD. Jawapannya mudah. Semua orang yang ada ijazah boleh jadi PTD. Ambil peperiksaan, PAC, temuduga, kadet, buat diploma di INTAN dan jadi PTD.


  7. Bulan Januari 1996 saya daftar SPA 8 untuk ambil peperiksaan PTD. Bulan Mei saya menduduki peperiksaan. Bulan Ogos 1996 saya dipanggil temuduga. 16 Disember 1996, saya dipanggil untuk sessi pemilihan akhir di INTAN, Kluang.


  8. Pada bulan yang sama saya diminta melapor diri di Kementerian Kewangan. Saya uruskan pelepasan jawatan dengan izin. Tahun 1999 barulah pelepasan jawatan saya diluluskan. Hari demi hari saya pun menjadi PTD. Dari Kementerian Kewangan saya ke Pejabat daerah Jelebu, kemudian sambung Master. Kemudian saya ke Jabatan Imigresen Malaysia, seterusnya ke Kementerian Pelajaran, dan Ke INTAN Bukit Kiara. Kemudian saya sambung belajar ke peringkat Ijazah Kedoktoran. Sekarang saya di JPM.


  9. Pada saya PTD tidaklah sehebat mana. Yang membezakan PTD dengan perkhidmatan lain adalah PTD diuruskan dengan begitu berkesan. Potensi bakat dikenalpasti dengan tepat, dikembangkan pada masa yang tepat, dan dilatih dari segi kepimpinan secara terancang. Maka jadilah PTD itu hebat. Dulu semasa saya menjadi guru saya tidak pernah cemburu akan PTD, sebaliknya saya cemburu akan guru-guru cemerlang yang begitu gigih mendidik anak bangsa. Ketika itu saya tidak punya masa untuk cemburu, sebaliknya saya bagitu sibuk mencari idea untuk mendidik murid-murid saya.


  10. Ketika saya meninggalkan sekolah, Pengetua saya ketika itu menitiskan air mata. Rakan-rakan guru dengan bangga merelakan saya pergi. Pelajar-pelajar saya menangis dan ada yang mengatakan pendidikan kehilangan seorang guru yang hebat. Kaki saya terasa berat untuk meninggalkan sekolah. Namun, apabila keputusan sudah dibuat, mustahil untuk saya berundur kembali.


  11. Hari ini saya adalah PTD kanan dalam sektor awam. Saya adalah guru di kalangan bekas anak murid saya. Saya adalah ahli surau di kariah saya. Saya adalah golfer di atas padang. Saya adalah suami hebat kepada isteri saya. Abah yang hampir sempurna pada anak-anak saya. Mungkin saya bos yang baik dan disenangi. Saya rakan yang setia kepada semua rakan saya sama ada dari kalangan guru, PTD, rakan sekolah, rakan kuliah, rakan jemaah, rakan golf, rakan snooker, rakan pejabat, dan macam-macam rakan lagi.


  12. SAYA JADI BEGINI BUKAN KERANA SAYA PTD.....KERANA SAYA SEORANG MANUSIA.

No comments: