Search This Blog

Friday, December 16, 2011

JOURNAL CINTA KEDUA - Episod 1

30 JUN 2011
Cerita ini adalah cerita biasa. Cerita tentang seorang lelaki yang tak guna yang jatuh cinta dengan isteri orang. Dan yang lebih malang lagi lelaki itu adalah aku. Namun dalam semua cerita tidak semua yang tidak berguna menjadi tidak berguna. Kita sentiasa ada 360 darjah untuk memutar sesuatu untuk menjadikan yang tidak berguna itu berguna kembali.
Aku sebenarnya bukan bodoh untuk jatuh cinta dengan isteri orang. Apalagi aku sudah punya keluarga. Aku pula bukanlah muda. Tapi harus diingat, aku belum juga tua lagi. Aku seringkali melihat rakan-rakanku menjalinkan hubungan dengan isteri orang. Kalau Tanya pendapat aku, aku akan segera menjawab…no komen. Pada aku cinta amat indah. Cinta adalah kurniaan kedua tertinggi Allah selepas akal. Hanya manusia yang dikurniakan Allah dengan akal dan cinta.
Malaikat, Jin, Syaitan, Binatang dan semua makhluk lain tidak pernah bercinta, apalagi berfikir. Maka, bila aku jatuh cinta lagi, aku jadi amat gembira. Aku rasakan, ada sesuatu yang Dia cuba beritahu kepadaku mengenai masa depanku. Yang menjadi masalahnya cuma satu. Wanita yang buat aku jatuh cinta adalah isteri orang. Wanita itu pula adalah ibu kepada tiga anak kecil yang sangat comel.
Aku tidak begitu rasa bersalah jika aku memisahkan wanita itu dengan suaminya. Tidak ada perkahwinan yang kekal. Di hujungnya akan putus juga. Diputuskan oleh manusia, keadaan atau hukum alam. Malah aku tahu aku mampu melakukannya. Tapi aku akan rasa amat berdosa, jika aku memisahkan tiga anak kecil yang comel itu dengan ayah mereka. Aku berpendapat, hanya Allah yang berhak berbuat demikian. Namun, hati kecil aku tetap yakin, aku mampu menjadi ayah yang lebih baik daripada ayah yang mereka ada sekarang. Dari sudut ini, aku rasa aku bukanlah manusia yang tidak berguna.
Sebenarnya, aku bukanlah jenis yang mudah jatuh cinta. Aku hanya jatuh cinta sekali. Itu pada 20 tahun dahulu. Wanita yang buat aku jatuh cinta, kini adalah isteriku. Malah dengannya aku dianugerahkan tiga orang putera. Semuanya hebat. Yang pertama akan ke New Zealand tahun hadapan untuk menyambung pelajaran. Yang kedua, akan mengambil SPM. Yang ketiga akan mengambil UPSR. Hidup aku sebenarnya telah lengkap. Lengkap sebagai lelaki, suami, dan ayah.
Namun, bila aku berjumpa dengan dia, aku rasa ada ruang dalam diriku yang menjadi kosong. Bila aku lihat dia senyum, aku jadi resah. Bila dia bicara, aku jadi resah. Malah bila dia melintas jauh di hadapanku, aku terus mengikut kea rah mana dia pergi. Kadang-kadang hanya untuk berkata hai…
Pernah sekali, aku hanya berdua dengannya dalam lif dari tingkat tiga ke basement. Aku ingin sangat menegurnya. Namun, satu perkataan pun tidak keluar dari kotak suaraku. Sedangkan dalam hatiku ada sejuta kata-kata yang berjaya kukarang. Akhirnya aku hanya senyum, itupun untuk membalas senyuman manisnya.


30 JUN 2010
Aku sebenarnya baru menamatkan Ijazah Kedoktoran. Seperti biasa aku diminta melapor diri di ibu pejabat. Aku lapor diri. Itu arahan, aku pekerja kena patuh. Dari ibu pejabat aku di arah untuk ke pejabat cawangan di Selangor. Aku diberi jawatan baru. Sebagai Ketua Sektor Keselamatan. Aku diminta berjumpa dengan Pengurus HR.
Aku sampai di pejabat cawangan jam 10 pagi. Aku terus ke pejabat HR untuk melapor diri. Aku diminta berjumpa dengan Puan Azira Nazri. Aku ketuk pintu. Masuk. Lalu aku serahkan surat arahan dari ibupejabat. Aku duduk bila disuruh duduk. Aku lihat dia. Dia juga melihat aku. Itulah kali pertama mata aku bertentang dengan matanya. Jantung aku terus sahaja terasa seperti mahu gugur. Kami berbual seketika sementara Azira menyiapkan arahan kerja baru kepadaku.
Pada orang lain mungkin Azira tidak cantik. Azira pada hari pertama bertemu denganku mengenakan baju kurang biru yang dipadankan dengan tudung biru. Mukanya bujur sirih. Mulutnya kecil dan sangat comel. Kulitnya hitam manis padaku. Ada dua jerawat pada bawah bibirnya. Matanya antara galak dan kuyu. Jari jemarinya runcing dan nampak sangat indah untuk digenggam. Bentuk badannya sederhana, tidak seksi dan tidak berisi penuh. Pada aku sangat sempurna.
Setiap kali Azira berkata-kata, Azira akan sulam dengan senyuman yang manis. Bercakap dan senyum. Bercakap lagi dan senyum lagi. Aku jadi tidak sedar yang aku telah lebih satu jam berada dalam bilik bersama seorang wanita yang anggun. Pada aku Azira lebih daripada wanita. Azira adalah bidadari yang dilahirkan untuk menyempurnakan bahagian-bahagian tersembunyi dalam hidupku.
Kemudian Azira mengiringi aku ke bilikku. Kali pertama aku masuk ke dalam bilik itu, aku Nampak Azira di mana-mana. Aku jadi marah dengan diri sendiri. Aku tahu, apabila Azira meminta aku memanggilnya puan, itu ertinya dia mahu aku tahu yang dia isteri orang. Aku tahu dia telah meletakkan satu garisan pemisah antara aku dan dia. Mungkin, dia tahu aku terpikat padanya. Jahanam aku…..
Minggu pertama aku bertugas aku hanya belajar beberapa perkara tentang budaya pejabat baruku ini. Aku percaya, budaya pejabat adalah jaminan untuk mengejar potensi organisasi. Ada juga yang aku tidak faham. Aku akan tanya semua orang, dari kerani hingga ke boss aku. Ada beberapa perkara yang aku perlu Tanya Azira. Namun aku selalu mengelak. Aku rela bertanya orang lain. Aku tahu, kalau aku selalu berbicara dengan Azira, aku akan semakin parah dibadai perasaan.
Adakalanya aku lihat Azira juga selalu menjeling ke arahku. Mungkin dia juga tertarik kepadaku. Jadi aku ubah cara aku bicara. Aku akan berbicara dahulu, kemudian akan berfikir. Aku mahu Azira nampak aku macam bodoh sombong. Atau macam si tak guna yang nak tunjuk pandai. Malangnya, setiap kali aku bicara, pendapat aku jadi selalu betul. Mungkin, aku mampu berfikir selari dengan bercakap.
Kadang-kadang, dalam mesyuarat aku gurau yang kasar-kasar dengan Azira. Aku selalu kata, “Azira punya fasal, saya sanggup lakukan apa sahaja.”. Azira selalu mencebik bila aku kata begitu. Azira selalu memberi reaksi segera. Selalu Azira kata begini “Em…tak ingin saya.” Tapi seandai Azira tahu, aku memang bermaksud begitu, aku rasa aku serta merta akan dibaling dengan kasut tumit tingginya.
Azira dan aku beza umurnya 15 tahun. Azira selalu katakan ketika aku mula bekerja, dia baru di darjah 3. Aku pula selalu katakan, bila aku 75 tahun, Azira akan jadi 60 tahun. Sama-sama tua. Sama-sama sudah tidak ada bezanya. Namun akan ada satu persamaan. Cinta kita tetap sama. Bila aku kata begitu, Azira akan tersenyum. Dan bila Azira tersenyum…aku akan rebah dalam perasaan yang tak mampu aku gambarkan.

Antara Julai 2010 hingga Oktober 2010
Bersambung……

No comments: