Benar kata orang. Cinta itu sebenarnya buta. Buta yang sebenarnya menyukarkan aku untuk mentakrifkan cinta aku pada Azira. Cinta aku pada isteriku. Pada anak-anakku. Malah aku mula menyayangi anak-anak Azira. Apabila aku melihat gambar Ira, anak pertama Azira, perasaan sayang itu datang dengan sendirinya. Adakalanya aku rasa seperti mahu menculik Ira dari Azira dan suaminya. Bila aku mendengar suara Ira bergaduh dengan Danial dalam telefon, aku rasa seperti mahu terbang ke sana. Merampas Ira dan Danial dari ibubapanya.
Ira hanya seorang gadis kecil yang berusia 4 tahun. Cukup comel. Ira jadi seperti anak patung yang cukup sempurna dengan rambutnya yang ikal. Bila Ira senyum, aku rasa satu duniaku bercahaya. Kadang-kadang aku menjerit untuk mendapatkan Ira. Terfikir juga mungkin kerana aku tidak punya anak perempuan, atau aku ini sudah lama tidak punya anak kecil.
Azira selalu bercerita tentang keletah Ira. Petang semalam Azira menghantar SMS kepadaku. Aku terus hubungi Azira. Aku dengar riuh rendah suara Ira meminta itu dan ini. Suara Ira bergaduh dengan Danial. Azira memberitahuku, Ira sedang membelai rambutnya. Danial pula sedang mengusik Ira. Aku minta untuk bercakap dengan Ira. Azira hanya benarkan aku bercakap sepatah dua. Itu pun cukup. Kadang-kadang aku hairan, mengapa aku merindui Azira dan anak-anaknya sama seperti aku rindu pada anak-anak dan isteriku.
Malah lebih menghairankan aku mengapa Azira terus rindu dan sayang padaku. Aku tahu Azira masih cuba untuk melupakan hubungan ini. Aku tahu Azira berusaha keras. Aku juga tahu Azira sentiasa gagal untuk melupakan aku. Semakin Azira ingin melupakan aku, Azira jadi semakin rindu dan sayang padaku. Itu yang aku katakan, cinta ini memang buta. Satu anugerah yang penuh rahsia. Mangsa kepada rahsia ini adalah aku dan Azira. Kami berdua sentiasa dihentam dilemma rasa bersalah. Bersalah pada semua orang yang berada disekeliling kami. Dan rindu dan cinta hadir. Hadir menghapus segala rasa bersalah dan dilemma. Maka kamipun teruskan hubungan ini. Dan rasa bersalah kembali lagi. Kami terus menunggu, menunggu, menunggu, dan menunggu serta menunggu.
Azira pernah tanya aku sampai bila aku sanggup menunggu. Aku selalu jelaskan aku sanggup tunggu sampai berakhirnya nafasku. Aku amat yakin dengan kesabaran ini. Aku sangat yakin dengan janjiku. Bukan pada Azira. Bukan pada suaminya. Bukan pada isteriku. Tapi janji aku kepada diriku. Aku tidak lagi mahu jadi perampas. Aku hanya mahu jadi penunggu yang paling setia. Aku akan menunggu dan terus menunggu sehingga takdirnya tiba. Andainya aku tidak bertemu apa yang tunggu...aku mahu Azira tahu, aku pernah dan amat mencintainya. Bukan untuk sehari, tapi untuk selama-lamanya.
14 November 2010
Bersambung.....
No comments:
Post a Comment