Search This Blog

Sunday, July 29, 2012

PAK IMAM GILAKAN SYURGA - BAH. 2

Bila isteri Pak Imam tersedar, dilihatnya Pak Imam sedang memberi takzirah. "Dalam mimpi pun laki aku ini begi takzirah!", ujar isteri Pak Imam, antara dengar dan tidak. Pedulikanlah. Isteri Pak Imam membawa bantal dan selimut. Bergerak ke ruang tamu. Isteri Pak Imam nak tidur di situ. Biarlah Pak Imam tidur sendiri. Tidur dengan merancang itu-ini.

"Halimah bangun! Dah pikul 7 ni. Subuh...abang pun lambat ni." Kejut Pak Imam.
Isteri Pak Imam mengeliat ke kanan. Kemudian ke kiri. Dan kemudian ke kanan semula.
"Ahhhhhhh...." Keluh isteri Pak Imam. Lega rasanya bila tidurnya tidak diganggu.
"Abang dah minum?" Tanya Isteri Pak Imam.
"Tak payah...cepat pergi solat! Abang nak ke surau ni. Ada mesyuarat." Arah Pak Imam.

Pak Imam terus berlalu pergi. Dibiarkan isterinya berseorangan. Pak Imam capai jubah dan kain pelikat. Pak Imam capai ketayap dan tasbih. Pak Imam ambil semua. Pak Imam bersiap. Nak ke rumah Allah, Pak Imam mesti bergaya. Siap berpakaian, Pak Imam capai minyak atar 'haruman kasturi'. Pak Imam gosok di tangan kanan. Tangan kiri dan sedikit di leher kanan. Pak Imam lihat cermin. Pak Imam senyum.

"Halimah...abang pergi." Pak Imam beritahu isterinya tanda Pak Imam akan mula melangkah. Isteri pak Imam diam. Mungkin juga dia jawab, tapi Pak Imam yang tidak mendengar.
"Assalamualaikum." Itu tandanya Pak Imam mula beredar.

Surau hanya terletak depan rumah Pak Imam. Pak Imam lintas sahaja jalan dah sampai ke pintu pagar surau. Di kampung selalunya surau tidak ada pagar. Tapi surau tempat Pak Imam ada pagar. Ada pintu besi beroda. Ada tempat parkir. Ada taman. Ada wakaf. Ada ruang sembelihan korban. Ada ruang makan. Ada setor. Ada macam-macam. Semuanya usaha Pak Imam memungut derma. Pak Imam paksa kariah derma. Pak Imam paksa kontraktor yang masuk kampung derma. Pak Imam paksa tokey balak haram derma. Pak Imam paksa tuan punya lombong pasir haram derma. Semua jenis tokey Pak Imam paksa. derma, derma, derma, dan derma serta derma. Hingga akhirnya surau Pak Imam siap. Pak Imam bangga betul bila lihat surau tersebut. Pak Imam akan rasa seperti VIP bila lihat surau tersebut. Setiap kali datang, Pak Imam akan tawaf dulu dua-tiga kali. Kemudian Pak Imam akan basuh kaki. Ambil wuduk. Masuk dan buat Tahiyatul Masjid.

"Mana semua AJK ni?" Pak Imam bertanya diri sendiri. Dah hampir sepuluh minit. Pak Imam belum nampak satu haram pun AJK yang datang. Semalam Pak Imam dah arahkan semuanya mesti datang jam 7.15 pagi. Pak Imam menjeguh ke luar. Dari jauh Pak Imam lihat Pak Ya datang. Jalan punyalah perlahan. Siap berpayung. Pak Imam lihat Azmi datang. Pak Imam lihat Cikgu Azli datang. Pak Imam lihat semua AJK datang. Sayangnya semua dari jauh.Pak Imam tunggu. Rasanya mahu sahaja Pak Imam jerit. Jerit dan guna pembesar suara. Minta semua AJK cepat sampai.

Bersambung.....


No comments: