Search This Blog

Monday, July 30, 2012

PAK IMAM GILAKAN SYURGA - BAH. 3

Bila semuanya dah sampai, Pak Imam terus arahkan semuanya ke bilik mesyuarat surau. Pak Ya, Azli, Cikgu Azli, dan dua-tiga AJK lain buat tak layan arahan Pak Imam. Semuanya masih menunggu Ustaz Azhar. Ustaz Azhar adalah imam muda. Ustaz Azhar lulusan Mesir. Kalau baca Quran, bacaan Ustaz Azhar memang jelas. Ayat yang panjang pun dirasakan pendek. Pak Imam lain pulak. Pak Imam hanya belajar agama dari kampung. Pak Imam kalau baca Quran tidak la sedap sangat. Tapi Pak Imam suka baca ayat panjang-panjang. Pak Imam kuat menghafal. Walaupun bukan hafiz, Pak Imam mungkin dah hafal separuh daripada Quran.

"Tuan-tuan, cepatlah...mesyuarat dah nak mula ni!" Pak Imam memanggil.
"Kami tunggu tiga-empat orang lagi sampai." Jawab Pak Ya selamba sambil mulutnya menyedut Winston. Asapnya dilepaskan ke udara dengan penuh rasa bangga. Pak Ya memang paling tak suka kalau Pak Imam pengerusikan mesyuarat. Panjang dan asyik dia sahaja yang cakap.

Hampir setengah jam baru semua AJK sampai termasuk AJK Wanita, Hjh. Fatimah dan Puan Anum. AJK Wanita surau ini memang aktif. Dari subuh sampai ke malam ada sahaja aktiviti. Hjh. Fatimah adalah yang paling hebat. Suaminya Hj. Amran adalah orang paling kaya di kawasan ini. Puan Anum pula balu. Arwah suaminya jutawan. Harta peninggalan arwah bernilai hampir 10 juta. Hampir semua aktiviti kaum ibu dibiayai oleh kedua-dua tokoh ini.

Mesyuarat pun bermula. Kali ini Abang Man Karaoke turut serta. Abang Man Karaoke bukan AJK. Entah apa mimpi, tiba-tiba Abang Man Karaoke nak masuk dalam mesyuarat. Pak Imam pula tidak membantah. AJK lain memang baik dengan Abang Man Karaoke. Malah satu kampung suka akan Abang Man Karaoke. Abang Man Karaoke memang tidak pernah lokek. Sebut sahaja apa surau nak buat dan berapa yang diperlukan. Abang Man Karaoke terus bagi cek. Malah kalau tidak cukup, Abang Man Karaoke tambah lagi dengan tunai. Dalam sebulan, adalah sekali Abang Man Karaoke ke surau. Tu pun kalau ada kenduri. Yang baiknya, Abang Man Karaoke tak pernah kutuk orang. Kalau datang surau, Abang Man Karaoke mesti nak azan. Sebagai kaki karaoke, suara Abang Man Karaoke memang tak boleh lawan.

"Assalamualaikum." Pak Imam terus memulakan mesyuarat. Salam Pak Imam sahaja membawa hampir 10 minit. Kemudian Pak Imam baca doa. Doa Pak Imam membawa lagi tambahan 10 minit.
"Ni saya nak bagi tahu aktiviti yang dirancang sepanjang Ramadan ni. Ada sesiapa bantah?" Itulah ayat Pak Imam yang paling Pak Ya dan semua AJK benci. Belum kemukakan cadangan lengkap dah tanya ada sesiapa bantah.

Bersambung....

No comments: