Search This Blog

Wednesday, August 8, 2012

PAK IMAM GILAKAN SYURGA - BAH. 10

Malam ni dah tiga malam Pak Imam tak datang surau. Mustahil Pak Imam merajuk. Mustahil juga Pak Imam kecil hati. Pemimpin mana boleh kecil hati. Orang yang mudah berkecil hati adalah orang yang memiliki hati yang kecil. Pemimpin mesti berhati besar. Berjiwa besar. Malah pemimpin mesti berkeyakinan besar.

"Pak Imam sakit." Tiba-tiba Wak J bersuara. Wak J selalu datang surau. Selalunya Wak J tidak bercakap dengan sesiapa. Wak J suka pilih saf belakang. Wak J pendiam. Nama sebenarnya pun hanya segelintir yang tahu. Semua orang panggil Wak J. Wak J bukan Jawa, tapi muka Wak J sebijik macam Herman Tino. Agaknya sebab itulah Wak J dipanggil Wak J.

"Sakit apa?" Tanya Abang Sahak H.A. Semua mata memandang Wak J. Wak J diam. Sekejap pandang kiri, sekejap pandang kanan. Kemudian Wak J senyum. Terus dia berlalu. Mungkin nak ambil wuduk.
"Wak, Pak Imam sakit apa?" Tanya Abang Sahak H.A. Kali ini lebih keras.
"Demam. Katanya demam denggi." Jawab Wak J. Wak J terus berlalu. Terus ambil wuduk. Terus masuk dalam surau.

Semua orang tertanya-tanya keadaan demam Pak Imam. Semua orang macam tak percaya dengan cerita Wak J. Abang Arip sampai dengan Ford Renjernya.

"Tak melawat Pak Imam ke? Teruk tu demam. Dah tiga hari." Terus sahaja Abang Arip buka mulut. Kali ini bila sampai surau Abang Arip tak hon keretanya. Mesti Abang Arip lupa kerana Abang Arip ada cerita yang lebih sensasi. Cerita tentang Pak Imam demam denggi. Azan pun berkumandang. Ustaz Azhar pun sampai. Semua jemaah terus masuk ke dalam surau Seorang pun tak tinggal. Sebabnya mudah, malam ini Abang Man Karaoke tak datang. Jadi pasukan borak di bawah khemah tiada. Pasukan masuk surau lambat juga tiada.

Selepas selesai solat Isyak Ustaz Azhar bangun. Ustaz Azhar jarang bangun untuk buat pengumuman. Ustaz Azhar selalunya hanya menjadi Imam. Kalau ada pengumuman Ustaz Azhar akan minta Cikgu Azli atau AJK lain yang buat. Malah kalau ada tahlil pun Ustaz Azhar akan minta orang lain yang bawa. Jauh berbeza dengan Pak Imam. Pak Imam akan kawal semuanya. Pak Imam macam gila bila dapat mikrofon. Imam pun dia. Pengumuman pun dia. Taskirah pun dia. Tahlil pun dia. Malah mengumumkan kematian penduduk kampung sebelah pun Pak Imam juga. Pak Imam dan mikrofon ibarat 'isi dengan kuku'. Tetapi kali ini Ustaz Azhar memilih untuk membuat pengumuman.

"Assalamualaikum... Dukacita dimaklumkan bahawa Pak Imam yang kita sayangi kena demam denggi. Keadaan beliau agak teruk. Malam ni tak ada tahlil. Lepas solat witir, jom kita ramai-ramai pergi melawat Pak Imam. Sekian. " Ringkas sahaja pengumuman Ustaz Azhar. Semua mata memandang. Maklumlah bila orang yang jarang bercakap mengkhabarkan sesuatu. Kadar kepentingan ucapan itu menjadi persoalan besar kepada semua pendengar. Maka, semua ingin tahu keadaan Pak Imam sebenar.

Semuanya selesai lebih kurang jam 9.45 malam. Selepas bersalam selawat, semua jemaah bergerak ke rumah Pak Imam. Sampai sahaja di rumah Pak Imam, keadaan rumah itu gelap. Salam demi salam salam dilontarkan. Jawapannya tidak ada. Salam demi salam terus dibuat. Keadaannya sama. Gelap dan tiada jawapan. Selepas 15 minit, semua jemaah berlalu pergi.

Bersambung....

No comments: