Search This Blog

Wednesday, August 1, 2012

PAK IMAM GILAKAN SYURGA - BAH. 5

Jumaat, 20 Julai 2012. Pak Imam arahkan diadakakan majlis gotong royong di sebelah pagi. Sebelah petang adakan gotong royong masak-memasak. Malam diadakan majlis sambutan awal ramadan dan solat Terawih pertama.

Ramai orang datang. Pak Ya, Abang Man Karaoke, Ustaz Azhar, Cikgu Azli, dan semua AJK. Penduduk kampung juga ramai yang datang. Abang Arip toyke getah lantun pun datang. Siap bawa Ford Renjer baru. Kejap hon. Kejap hon. Mungkin Abang Arip tak puas lagi kot dengar hon Ford Renjer barunya. Abang Sahak H.A. pun datang. Siap bawa anak-menantu. Adalah dalam lingkungan 30 orang. Keluarga Abang Sahak H.A. ni kalau kumpul semua dah boleh buat Solat Jumaat. H.A. la katakan. Macam-macam ubat kuat dia tahu. Macam-macam ubat subur dia telan. Maka hasilnya, tiap-tiap tahun bin atau binti Sahak H.A. akan bertambah di bumi Allah ni.

Pak Imam sampai. Siap berjubah dan berserban. Serba putih. Datang macam biasa, tawaf surau dua-tiga kali. Masuk bilik air. Masuk ruang solat. Pergi uji pembesar suara. Ketuk sana. Ketuk sini.
"Mana orang mesin rumput?" Tanya Pak Imam. Semua dengar soalan tu tapi tak ada seorang pun yang nak menjawab.
"Mana orang vakum dalam surau Sahak?" Pak Imam bertanya lagi. Kali ini soalannya ditujukan kepada Abang Sahak H.A.
"Ada kat dalam la kot. Dah nak vakum dalam surau, tak kan nak duduk kat sini." Selamba Abang Sahak H.A. jawab. Pak Imam diam. Kemudian Pak Imam berlalu.

Abang Man Karaoke datang sejam kemudian. Siap pakai sut kerja. Kasut Phua Chu Kang lagi. Bawa mesin rumput. Tak tegur sesiapa. Hidupkan enjin mesin rumput dan terus mesin rumput. Dekat dua jam. Siap satu kawasan surau. Kemudian Abang Man Karaoke panggil Pak Ya.
"Nak seratus, pergi beli air. Pak Imam mana?" Tanya Abang Man Karaoke.
"Dah balik kot. Praktis Terawih. Hahahah" Jawab Pak Ya sambil ketawa.

Semua orang sibuk. Abang Man Karaoke yang bagi arahan. Beli air pun Abang Man Karaoke. Beli Nasi Lemak pun Abang Man Karaoke. Tukang makan tetap adalah Abang Sahak H.A. dan anak-beranak. Jam 12 tengahari semuanya selesai.

Lepas zohor, semua bahan masakan sampai. Kambing, ayam, bawang, dan segalanya. Kaum ibu menjadi tukang siang. Ketua tukang masak adalah Cikgu Zul dan Ustaz Firdaus Bini Dua. Cikgu Zul bab kari kambing tak boleh lawan. Ustaz Firdaus Bini Dua bab nasi arab memang nombor satu. Bila masak, bini-bini Ustaz Firdaus akan bantu. Ustaz Firdaus Bini Dua ni bukan tampan sangat pun. Tingginya adalah paras bahu Pak Imam. Tapi isteri pertamanya macam Erra Fazira. Isteri kedua macam Neolofa. Semua orang nak jadi macam Ustaz Firdaus Bini Dua.

Masa bila semua sibuk begini berjalan dengan begitu laju. Sekejap sahaja Asar. Sekejap sahaja dah pukul 6 petang. Semua kerja dah selesai. Hjh. Fatimah dan Puan Anum serta angkatan kaum ibu diberikan tugas menghidang. Yang lain mula beredar. Jam 7 malam semua akan kembali berkumpul. Pak Imam langsung tak nampak muka.

Bersambung....

No comments: