Search This Blog

Sunday, August 5, 2012

PAK IMAM GILAKAN SYURGA - BAH. 7

"Ya Allah ampunilah kami......" Mula doa Pak Imam.
"Amin.." Bergema suara makmun mengaminkan doa Pak Imam.
"Ya, Allah sesungguhnya kami ini manusia yang lemah. Manusia yang sering tenggelam dalam hawa nafsu. Manusia yang sering leka dalam perkara yang mengkhayalkan......" Pak Imam teruskan doanya. Semakin lama semakin banyak kejahatan 'kami' yang Pak Imam sebutkan. Gema Amin makin lama semakin perlahan. Hampir 10 minit Pak Imam sebut kejahatan dan kecenderungan 'kami' sahaja.


"Ya Allah, yang maha pemurah, terimalah taubat kami, terimalah ibadah kami." Pak Imam ulang ayat tersebut hampir 10 kali. Makmum pula hanya amin dua-tiga yang pertama. Yang hujung-hujung, makmum hanya diam. Mungkin ada dua-tiga yang terlena. Terlena kerana khusyuk. Terlena kerana keinsafan. Yang paling ramai, terlena kerana keletihan dan bosan.


"Ya Allah kami mahu syurgaMu. Kami takut nerakaMu. Kami rindu syurgaMu. Kami mimpikan syurgaMu. Kami mimpi kehebatan JannahMu. Kami mimpi ketinggian FirdausMu......." Merayu-rayu Pak Imam idamkan syurga. Makin lama suara Pak Imam semakin lantang. Semakin syahdu. Semakin mendayu. Seorang demi seorang makmum keluar. Keluar menjamah makanan yang sudah semakin sejuk. Tinggal satu-dua sahaja yang tinggal. Itupun orang pencen yang telinganya tidak berapa nak mendengar. Lama, hampir 30 minit, baru Pak Imam selesai membaca doa. Pak Imam tunduk sorang-sorang. Pak Imam yakin doanya pada malam pertama Ramadan ini akan diterima Allah. Hampir lima minit Pak Imam berseorangan. Semua yang lain sudah ada di bawah khemah. Makan atau ada yang sedang berbual-bual kosong.


"Aaa Pak Imam kenapa tak iktikaf terus kar dalam?" Tegur Abang Man Karaoke bila nampak sahaja kelibat Pak Imam. Pak Ya senyum. Semua orang lain tahu, malam ini pasti Abang Man Karaoke nak berbalah dengan Pak Imam.


"Ni nak turun minum air sikit, jamah apa yang tinggal sikit." Jawab Pak Imam perlahan.
"Lepas ni ingat nak bertadarus dalam satu juzuk. Kalau boleh dua kot." Tambah Pak Imam lagi.
"Kalau ada rezeki, dapatlah iktikaf. Kalau sedar boleh Qiamullail. Jom semua kita buka pintu Syurga. Banyak bidadari dok tunggu kat dalam tu." Pak Imam jawab penuh keikhlasan.


Abang Man Karaoke diam. Pak Ya diam. Semua diam. Tiba-tiba datang seorang budak kecil. Kalau diperhatikan saiz fizikal, budak itu mesti belum bersekolah tadika. Budak itu berjalan ke arah Pak Imam.


"Pak Cik nak air?" Terus budak tersebut tanya Pak Imam. Pak Imam angguk. Budak itupun mendapat sebotol air mineral dan sebuah gelas.
"Pak Cik tanya sikit boleh?" Budak tersebut terus bertanya. Pak Imam angguk lagi.
"Kenapa doa Pak Cik panjang sangat. Sampai boring kita." Budak tersebut bertanya tanpa berselindung. Budak la katakan. Apa yang dikatakan selalunya ikhlas. Selalunya benar. Dan selalunya menggambarkan maksud sebahagian besar orang lain. Suasana menjadi sepi. Paling sepi. Semua menanti jawapan daripada Pak Imam.


"Kita tak tau mana satu doa kita yang Allah terima. Kita kena minta banyak-banyak." Jawab Pak Imam. Kurang keyakinan dalam jawapan tersebut. Muka Pak Imam pun nampak kurang yakin.


"Nak tanya lagi boleh?" Budak tersebut terus bertanya. Pak Imam diam. Tidak mengangguk. Tidak menggeleng. Dituangnya air ke dalam gelas. Diteguknya perlahan-lahan.


"Pak Cik ni baru keluar penjara ya?" Budak tersebut bertanya sambil tersenyum. 
"Kenapa?" Pak Imam bertanya kembali.
"Doa Pak Cik yang mula-mula kata Pak Cik jahat.Pak Cik ikut nafsu. Mak kata jangan ikut nafsu. Nanti masuk penjara." Budak tersebut meneruskan soalannya. Pak Imam diam. Semua mata bertumpu kepada Pak Imam. Semua mahu mendengar jawapan Pak Imam. Selama ini semua hanya mengikut, tidak ada seorang yang bertanya. Kalau adapun hanya Abang MAn Karaoke dan Pak Ya. Itupun soalan tak lah sebijak mana.


"Tidak..." Perlahan jawab Pak Imam.
"Kita kena merendah diri bila berdoa. Kita bukan buat. Tapi kena merendah diri." Jawab Pak Imam.
"Pak Cik jahat. Pak Cik tak buat tapi mengaku buat. Pak Cik tipu masa berdoa.." Budak tersebut cakap dengan kuat. Kemudian lari membelah gelap malam.


Semua orang pandang Pak Imam. Pak Imam terus pandang ke tanah. Pak Imam bangun. Pak Imam terus berlalu pergi. Terus pulang ke rumah. Malam itu tiada tadarus. Tiada iktikaf. Tiada Qiamullail.


Bersambung....

No comments: