Search This Blog

Monday, August 6, 2012

PAK IMAM GILAKAN SYURGA - BAH. 8

Ramadan biasanya akan terasa amat lambat berlalu. Namun, Ramadan kali ini semua penduduk kampung rasakan amat pantas berlalu. Yang rajin ke surau akan menghabiskan lebih separuh malam di sarau. Yang kaki kedai mamak pula, biasanya akan menghabiskan masa malam berborak kosong di kedai mamak. Apalagi, Ramadan tahun ini datang bersama Olimpik London. Semua layan. Semua tunggu. Abang Man Karaoke paling gemar bola tampar pantai. Semua pemain dia kenal. Dia tahu semua keputusan. Pak Ya pula minat angkat berat. Kalau cerita tantang sukan angkat berat Pak Ya akan tunjukkan cara-cara angkatan yang betul. Pak Ya masa bercerita persis macam jurulatih Khazaktan.

Bila Ramadan pantas berlalu, tanpa disedari dah sampai malam kesepuluh. Dari malam pertama hingga malam kesepuluh hanya Pak Imam yang mengimamkan solat Maghrib, Isyak, Terawih, dan semua solat sunat lain. Imam lain direhatkan. Semakin bilangan malam Ramadan bertambah, semakin bilangan jemaah berkurang. Cikgu Azli kata bilangan jemaah berkadar songsang dengan bilangan malam Ramadan. Cikgu Azli juga menambah bilangan jemaah juga berkadar songsang dengan masa yang diambil. Abang Man Karaoke paling percaya hujah Cikgu Azli. Abang Man Karaoke selalu ulang pendapat Cikgu Azli ini.

Bila moreh dibatalkan, jemaah akan terus balik selepas terawih. Tidak seperti tahun-tahun lalu, selepas terawih ada moreh. Pak Ya akan mengumpul beberapa rakan. Berborak hingga ke pagi. Bila Ustaz Azhar sampai, semuanya akan masuk ke dalam surau. Bertadarus dengan khalifahnya Ustaz Azhar. Tidak ada jadual tadarus khusus. Semuanya dilakukan dengan ikhlas. Masa malam 25 Ramadan, satu Quran dah khatam. Malam 26, Ustaz Azhar aturkan majlis khatam. Ustaz Azhar juga yang jadi ketuanya. Macam biasa, Abang Man Karaoke yang jadi pembekal makanan dan minuman. Semua gembira. Semua teruja. Itu cerita tahun lalu. Masa tu Pak Imam tiada. Pak Imam banyak ke surau rumah mertuanya di kampung sebelah. Tahun ini Pak Imam nak aturkan segalanya. Segalanya terasa seperti dikawal. Hilang rasa ikhlas.

Sehingga malam kesepuluh tidak ada yang bertadarus di surau. Habis sahaja terawih, semua terus pulang tanpa bertangguh. Kadang-kadang hingga tak sempat nak buat salam selawat. terus balik. Bilangan jemaah hanya tingga dalam empat saf. Itu pun berdiri tidak terlalu rapat.

Makin lama ayat-ayat Pak Imam makin panjang. Lepas rakaat keempat, satu saf hilang. Lepas rakaat kelapan, hilang lagi satu saf. Tiba masa doa, tinggalah satu saf sahaja. Saf hadapan. itupun semuanya orang-orang pencen. Golongan pencen boleh beribadat sepanjang malam. Esok, golongan ini tidak bekerja. Pak Imam walaupun masih bekerja tapi hanya sebagai Ustaz di sekolah pondok. Di sekolah tersebut, siang Ramadan semuanya baca Quran. Kalau mengantuk, boleh terlelap sekejap. Bukan tidur, tapi beriktikaf.

Malam kesebelas ada majlis iftar anjuran kaum ibu. Hjh Fatimah dan Puan Anum dah beritahu Pak Imam. Tapi Pak Imam macam tak nak kisah. Hjh. Fatimah beritahu Ustaz Azhar. Ustaz Azhar kumpul orang-orang muda. Bantu kaum ibu buat persediaan. Hjh. Fatimah kata lepas terawih malam itu, kaum ibu turut nak buat moreh. Menunya bubur kacang campur duriah. Abang Man Karaoke nak bawa roti gardenia. Semua senyum bila dengar ada moreh.

Bersambung.....

No comments: