Search This Blog

Monday, July 7, 2014

PESTA IBADAH DATANG LAGI 11

Dari satu sudut lain, manusia ini sebenarnya tidak sama. Rupa juga berbeza. Kemampuan akal dan fikiran juga berbeza. Rentak kehidupan sukar untuk mencari kesamarataan. Begitu juga bagi kariah ini. Bukan semua orang berada. Bukan semua yang mampu menderma. Malah, ada yang terperangkap dalam kerendahan diri untuk bergaul sesama kariah. Menyembunyikan kesukaran dan kepayahan di sebalik senyuman.

Kak Aini Bee. Datang dari Pulau Pinang. Seorang ibu tinggal. Suaminya Mohamad Nabiul Haq hilang entah ke mana. Yang tinggal adalah tujuh anak yang berdiri sebaris seperti tangga. Rapat-rapat. Yang sulung baru berusia 14 tahun. Yang bongsu berusia 3 tahun. Kak Aini Bee selalu ke surau. Terutama sekali waktu Maghrib dan Isyak. Kerjanya adalah menjahir pakaian.

Ada yang kata Kak Aini Bee ini sebenarnya sudah janda. Ada yang kata Kak Aini Bee ini balu. Ada juga yang berkata Kak Aini Bee ini digantung tidak bertali. Yang nyata Kak Aini Bee menyewa di sini. Mengambil upah menjahit pakaian. Anak-anak Kak Aini Bee jarang-jarang keluar rumah. Cuma sesekali anak-anak ini akan ke surau. Namun, Ramadan ini kerap pulak keluarga Kak Aini Bee ke surau. Mungkin kerana di surau ada majlis berbuka secara percuma setiap hari.

"Haa Bee, mana budak-budak hari ni." Sapa Pak Haji Baharum. Sudah malam kesepuluh. Selalunya Pak Haji Baharum akan melihat semua anak Kak Aini Bee datang bersama-sama ibunya. Selalu juga Pak Haji Baharum menghulurkan duit kepada anak-anak Kak Aini Bee. Pak Haji Baharum akan berasa seronok bila melihat wajah berseri-seri anak-anak Kak Aini Bee menerima duit tersebut.

"Dua orang demam, pagi tadi mula." Perlahan Kak Aini Bee menjawab.
"Dah bawa klinik ke?" Tanya Pak Haji Baharum lagi.
"Belum lagi Haji. Demam biasa saja tu." Kak Aini Bee menerangkan.
"Mana Bee tahu tu demam biasa. Macam doktor pulak Bee ni." Marah Pak Haji Baharum. Terus Pak Haji Baharun panggil beberapa orang. Lebai Rosli, Ijam Remos, Solihin dan Leman Felda terus datang kepada Pak Haji Baharum.

Dari jauh kelihatan Pak Haji Baharum menghulurkan beberapa keping duit RM50 kepada Leman Felda. Dalam masa yang hampir sama, Leman Felda dan Solihin terus bergerak. Terus kereta Iswara Merah Solihin, dan terus bergerak ditelan malam.

Bersambung....

No comments: