Search This Blog

Thursday, July 10, 2014

PESTA IBADAH DATANG LAGI 13 & 14

Balik dari klinik, Solihin hanya diam. Leman Felda juga diam. Kedua-dua kaku memandang depan. Solihan memandu kereta agak perlahan. Lampu isyarat baru sahaja kuning pun, Solihin dah berhenti. Leman Felda diam sahaja. Sesekali dia menoleh ke belakang. Sayu hatinya melihat keadaan anak-anak Kak Aini Bee. Jauh dalam hatinya Leman Felda penuh bersyukur dengan komitmen Pak Aji Baharum yang tanpa berfikir terus menghulurkan bantuan kewangan.

"Kita singgah minum dulu boleh dik." Tiba-tiba Solihin bertanya. Anak-anak Kak Aini Bee hanya mengangguk. Leman Felda bertambah risau. Dalam dompetnya hanya tinggal seringgit setengah. Itu pun buat penyeri dompet. Duit yang Pak Aji Baharun bagi tadi tak cukup dekat tiga ratus. Solihin tambah seratus setangah. Leman Felda juga terpaksa tambah seratus setengah. Sedangkan itulah sahaja baki duitnya sehingga sampai ke tarikh gaji.

"Kita nak minum mana ni Solihin?" Tanya Leman Felda. Mungkin Solihin masih ada duit. Solihin mesti ada duit lagi ni. Begitulah betak hati Leman Felda. Iswara merah Solihin terus membelah malam. Berhenti betul-betul di depan Restoran As-Salam. Antara restoran terkenal di kawasan tersebut. Semua penumpang turun.

"Bagi murtabak ayam satu. Air tiga layer." Solihin terus membuat pesanan. Nampak lapar sangat lelaki lembut tersebut.
"Sama." Jawab Leman Felda apabila mamak pelayan tersebut bertanyakan soalan yang sama kepada beliau.
Anak-anak Kak Aini Bee memesan Maggi Sup Ayam. Airnya pula air kelapa laici. Leman Felda terus berkira-kira. Cecah tiga puluh ringgit juga ni. Mesti Solihin ada dalam lima puluh ringgit lagi. Leman Felda terus makan sambil terus menjamah makanan yang dipesan. Solihin makan dengan khusyuknya. Anak-anak Kak Aini Bee juga makan dengan tenang. Semua diam. Semua tumpuan diberikan kepada makanan nukilan mamak As-Salam.

********************************************************************************
"Leman panggil mamak tu kira." Arah Solihin. Lega rasa seluruh hati Leman Felda. Terus dipanggilnya mamak untuk mengira. Berlari mamak datang untuk membuat pengiraan pantas.

"Eh, kau nak pegi mana tu." Tanya Leman Felda kepada Solihin. Dilihatnya Solihin terus bergerak ke iswara merah bersama anak-anak Kak Aini Bee.

"Kereta la...ko setel la Leman." Arah Solihin terus bergerak ke kereta tanpa menoleh kepada Leman Felda. Leman gelabah semacam. Mamak yang sedang mengira pula Leman Felda nampak macam penjahat cerita Tamil.

"Tiga puluh sembilan ringgit seploh sen. Seploh sen kira halal. Itu tiga puluh sembilan saja." Jumlah yang diberikan oleh mamak tersebut membuatkan Leman Felda terasa seperti hendak pitam. Hendak demam. Selsema serta demam kepialu.

Diseluknya poket kira. Kosong. Diseluknya poket kanan. Kosong. Leman Felda mula gelabah. Tiba-tiba bahunya ditepuk. Seseorang yang Leman seperti kenal. Namun namanya tidak diingat. Muka seperti seseorang.

"Tengok dalam dompet." Bisik lelaki tersebut. Dia terus berlalu. Tanpa menoleh kepada Leman Felda. Leman Felda terpinga. Mustahil dalam dompetnya ada lagi duit yang melebihi nilai dua ringgit. Perlahan Leman Felda mengeluarkan dompetnya. Dipejamkan matanya. Lalu dibacanya Bismillah berkali-kali. Leman Felda terus membuka ruangan tempat dia mengisi wang.

"Subhanallah. Maha Suci dan Maha KayaMu Ya Allah." Terbeliah mata Leman Felda apabila dilihatnya ruangan tersebut penuh berisi wang lima puluh. Berkeping-keping. Diambilnya sekeping. Terus diberikan kepada mamak. Mamak tersebut segera memulangkan baki. Leman Felda masih kaku. Terus bergerak ke kiswara merah Solihin.

"Kenapa lambat sangat." Desis Solihin. Leman Felda hanya diam. Dia telah melihat keajaiban malam ini. Malam ramadan pertama dia tinggalkan Solat Tarawih. Malam ramadan pertama dia tinggalkan Solat Witir. Malam ramadan pertama dia tinggalkan tazkirah Ustaz Hasbul. Malam ramadan pertama dia tidak makan moreh di surau.

"Oii kau ni kenapa." Usik Solihin sambil menyiku Leman Felda.
"Nah duit kau tadi seratus lima puluh." Leman Felda terus memberi wang tersebut kepada Solihin.
"Nak dik sorang lima puluh." Leman Felda menghulurkan wang tersebut kepada anak-anak Kak Aini Bee. Solihin terpinga. Anak-anak Kak Aini Bee terpinga. Leman Felda juga masih terpinga. Semuanya terpinga atas kebesaran Ar-Razak. Kagum dengan balasan segara Ar-Rahman. Kaget atas rasa cinta Ar-Rahim.

Bersambung.....

No comments: