Search This Blog

Wednesday, July 2, 2014

PESTA IBADAH DATANG LAGI 7 & 8

"Ni yang saya nak umum ni bukan setakat moreh." Perlahan Cikgu Ya jawab. Tangan kanannya memegang mikrofon kukuh. Tangan kirinya menggaru-garu peha kanannya. lepas tu peha kirinya. Cikgu Ya memang gemar garu sana garu sini. Kalau kita solat sebelah Cikgu Ya, susah betul nak khusyuk.

"Saya nak maklumkan, mulai malam esok sampai malam 25, surau ni dah penuh dengan jadual berbuka. Ramai sungguh orang nak bayaq ganti posa." Tambah Cikgu Ya. Semua jemaah melopong.
"Jadi, saya ingat kita kat sini tak payah kot buat buka posa sungguh-sungguh. Mai saja surau. Bawa anak bini sekali. Kita buka posa ramai-ramai." Cikgu Ya cadangkan.

Semua jemaah angguk dan angguk.
"Moreh takat ni belum ada yang nak buat. Tapi tahun ni kita buat sekarela kot. Sape nak buat, biaq dia buat. Sape tak mau buat, nak buat lagu mana? Tak kan kita nak pi sekeh kepala dia suruh buat moreh." Kata Cikgu Ya. Bunyi macam berseloroh, tapi muka serius. Tu la kelebihan Cikgu Ya, buat lawak dalam serius.

Semua nampak macam puashati. Nampak sangat semua kagum dengan idea berani Cikgu Ya. Kemudian Lebai Rosli bangun dan Selawat. Semua pun bangun. Imam Hasbul ke depan. Maka, malam pertama Ramadan pun diisi dengan Terawih. Dua rakaat. Dua rakaat. Doa. Ada Tazkirah. Dua rakaat lagi. Dua rakaat yang akhir. Doa. Kemudian Witir dua rakaat. Kemudian Witir satu rakaat. Kemudian doa. Doa yang panjang untuk menutup malam pertama Ramadan. Amin yang panjang. Semua bersalam-salaman. Ada yang bergerak ke pintu. Malah ada yang dah duduk atas motosikal pun.

"Hoi hangpa nak pi mana tu?" Panggil Cikgu Ya.

***************************

"Amboi hang pun nak balik Pak Imam. Masa bagi tazkirah tadi bukan main. Balik hang dulu." Selamba Cikgu Ya tegur semua jemaah. Imam Hasbul pun kena sekali. Ternganga semua.

"Dok dulu. Kita tadarus sikit.Pak Aji Baharum jadi khalifah." Sama saja Cikgu Ya. Susah nak beza sama ada Cikgu Ya mengarah atau mencadangkan.
"Ha cepat." Pak Aji Baharun terus mengarahkan semua orang duduk dalam tiga bulatan.
"Bulatan 1, Imam check bacaan." Tambah Pak Aji Baharum.
"Bulatan 2, Lebai check bacaan." Arahnya lagi.
"Bulatan 3 Cikgu Ya check." Terus menerus Pak Aji Baharum memberi arahan sambil tersenyum. Mudah sahaja Pak Aji Baharum mengelak dari tugasan yang diberi tiba-tiba. Mengelak pun secara tiba-tiba.

Semua pun duduk dalam bulatan. Bulatan pertama baca dari mukasurat satu hingga 7. Bulatan 2 akan membaca dari muka 8 sampai 13. Bulatan 3 pula akan membaca dari muka 14 - 20. Maka akan tamatlah satu juzuk pada malam pertama Ramadan.

Beralunlah ayat-ayat Allah di seluruh taman. Meresap ke seluruh kawasan sekitar. Ada yang terus naik menegak. Tinggi dan terus tinggi. Mungkin menembusi 7 petala langit. Ada yang menesap tegak ke dalam bumi. Mungkin menembusi tujuh petala bumi. Alunan itu makin lama makin syahdu. Makin lama menghayutkan kapal nafsu dan tenggelam dalam gelora Ramadan. Maka akan tingga bantera Imam yang akan terus menghilir Ramadan dengan penuh nikmat dan keindahan.

Maka berlalulah malam pertama Ramadan sebagai pembuka pesta ibadah. Sang isteri setia menunggu di rumah. Sang anak sabar menanti di tempat yang sama. Semua seperti telah bersedia. Ramadan dan ibadah ibarat satu dalam yang hak. Dipisah menjadi batil. Dicerai menjadi bacul. Dilupa tercipta neraka. Dirai menjadi manusia.


No comments: