Search This Blog

Wednesday, October 22, 2014

BAJET 2015: KESAN BONUS GLC


  1. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah satu kaedah tepat untuk memudahkan semua urusan dengan mengurangkan birokrasi sektor awam. Penubuhan GLC pada dasarnya memerlukan satu undang-undang baru yang membolehkan Menteri mewujudkan GLC yang berkaitan.
  2. Antara GLC yang ternama adalah Petronas, Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad, IWK dan SYABAS. Namun begitu sebenarnya ada banyak lagi GLC yang tertubuh untuk menjana pendapat negara.
  3. Ada juga GLC yang diwujudkan untuk memudahkan kerajaan melaksanakan fungsi dan kuasa kerajaan. Kerana itu, satu akta digubal khusus untuk GLC yang sedemikian rupa. Contoh GLC yang begini adalah KWSP, Perkeso, SKMM, dan LHDN.
  4. Penubuhan GLC sebenarnya telah berjaya mengurangkan bilangan penjawat awam. Pengurangan penjawat awam ini sepatutnya akan mengurangkan Belanja Mengurus dalam bajet negara.
  5. Namun saban tahun, peningkatan belanja mengurus berlaku dengan mendadak. Dalam masa yang sama, hasil negara dilihat tidak meningkat dengan kadar yang tinggi. Maka, berlaku konflik yang seolah-olah menggambarkan penubuhan GLC merupakan satu kegagalan.
  6. Bagi GLC yang dijelaskan dalam perkara 2, kumpulan ini diwujudkan untuk menghasilkan keuntungan kepada negara. Maka, sumbangan GLC ini bukan sahaja dalam bentuk cukai, tetapi dalam bentuk perkongsian keuntungan dengan kerajaan.
  7. Lazimnya gaji GLC adalah sangat lumayan. Jumlah gaji yang diterima oleh pegawai baru dalam GLC akan melebihi gaji penjawat awam yang telah berkhidmat 10 tahun. GLC pula akan memberikan pelbagai elaun dan kemudahan kepada kakitangan mereka.
  8. Kesannya peratus keuntungan GLC menjadi kecil. Kesan ini ditambah parah lagi dengan pemberian bonus yang nampak tidak logik. Ada GLC yang memberi 6 bulan bonus dan ada yang lebih tamak memberikan sehingga 9 bulan bonus.
  9. Pemberian bonus dan gaji yang terlalu besar akan membuatkan keuntungan GLC berkurang. Apabila keuntungan berkurang maka cukai korporat mengecil. Apabila keuntungan mengecil, maka keuntungan yang boleh dikongsi dengan kerajaan akan menjadi sifar.
  10. Apabila ini berlaku, maka sumbangan GLC kepada negara akan menjadi sifar. Apabila sumbangan menjadi sifar, maka GLC tersebut sebenarnya gagal secara total. Malah, kegagalan GLC ini adalah kegagalan negara dalam mengagihkan kekayaan negara secara adil dan berkesan.

No comments: