Search This Blog

Wednesday, August 24, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2011

Salam sejahtera kepada semua pembaca blog ini. Selamat berpuasa semoga anda semua dapat berbuka dengan juadah yang anda idamkan. Ditambah pula dengan ganjaran pahala puasa yang berlipat kali ganda.


Hari ini adalah hari terakhir saya menulis dalam bulan yang mulia ini. Dengan penulisan ini saya mengumumkan siri Ali Baba Nak ke Putrajaya akan disambung semula dengan jalan cerita yang lebih menarik.


Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh Muslimin dan Muslimat khususnya pembaca setia drzainalabidinsait.blogspot.com. Saya juga panjatkan doa kepada Allah SWT semoga pembaca setia blog ini dianugerahi lailatulkadar pada Ramadhan tahun ini.


Saya juga ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin kepada:



  1. Pembaca setia blog ini...tanpa anda siapalah saya,

  2. Isteri dan anak-anak saya...tanpa anda hidup saya tidak bermakna,

  3. Semua staf saya....anda buat pejabat ini ceria,

  4. Semua bekas staf saya...anda menghidupkan nostalgia saya,

  5. Semua kariah Surau Impian....anda buat surau kita bernyawa,

  6. Kakak-kakak dan adik-adik saya....bila bersama anda semua saya jadi bertenaga,

  7. Abang ipar semua.....semoga gembira berhari raya,

  8. Pakcik-pakcik rakan borak kedai kopi....mohon ampun dan maaf semasa kita berbahas,

  9. Rakan-rakan golf......raya kelima kita jumpa...jangan bawa duit raya anak-anak ke padang,

  10. Rakan-rakan snooker.....bila-bila pun boleh minta maaf...tiap2 hari kita jumpa,

  11. Rakan-rakan lama...kalau berjumpakan tegur dan ingatkan saya,

  12. Bos-bos saya...jom kita bawa semangat puasa ni sampai bila-bila,

  13. PM...terima kasih bagi bonus...tambah lagi setengah lagi baik...bagi separuh-separuh ni hajat sukar nak sampai lah,

  14. MBNS....terima kasih banyak bantu kariah saya,

  15. Jiran-jiran taman....datanglah rumah hari raya pertama...saya beraya di rumah sahaja,

Hari raya hari mulia, tambah molek berbaju Kedah, kita ini sesama manusia, kadang rebah kadang terngadah.


Wassalam

Monday, August 22, 2011

MUALLAF YANG BERPUASA - AKHIR


  1. Dalam segala ketenangan itu, Muallaf merasakan jasadnya semakin ringan. Dalam masa yang sama dia merasakan dirinya diangkat ke satu tingkat yang lebih tinggi. Melayang bersama gerak angin dan bayu.

  2. Dalam melayang-layang dia dapat melihat segala pemandangan yang indah. Dapat dia melihat singgahsana dan permaisuri yang bersemayam disebelahnya. Cantiknya tidak dapat digambarkan.

  3. Dapat dia merasai dingin dan sejuknya suasana sekitar. Kedamaian yang tidak pernah wujud di mana-mana di planet ini. Pelangi yang ada 21 warna sentiasa melingkari istananya di sana.

  4. Sekeliling istananya ada sungai yang amat jernih. Airnya boleh terus diminum. Rasanya tidak ada bandingan. Tidak layak lagi dipanggil sedap...lebih daripada itu. Di langitnya ada 7 buah bulan yang setiap satunya punyai warna yang berbeza.

  5. Dia terus menutup matanya. Alhamdullillah. Aku sampai juga ke tempat idaman semua manusia. Tempat ini andainya bukan syurga, namun aku merasakan akulah umatMu yang amat bertuah. Syukur Tuhanku.

  6. Di alam sebenar, ada satu suasana yang kelam kabut. Anggota bomba dan penyelamat begitu sibuk mengeluarkan mayat yang tersepit. Semua menjadi hairan, dalam kemalangan yang begitu dahsyat, keadaan mayat sedikitpun tidak terjejas.

  7. Mayat seorang lelaki Cina kelihatan begitu bersinar. Dalam sebuah teksi yang remuk, mayat seperti dijaga oleh sesuatu. Tidak terdapat satu garisan luka di tubuh dan muka jenazah.

  8. Dari wajah jenazah, terukir senyuman yang paling manis. Dari dahi jenazah seperti terpancar cahaya putih. Cahaya yang selalunya ada pada jenazah para wali dan anbia. Namun di wajah seorang yang baru memeluk Islam cahaya itu tetap ada.

  9. Yaw Ah Ba. Ini Cina ni. Kita kena hantar ke hospital biar keluarga dia tuntut dan uruskan. Bukan..dia memang Cina. Tetapi dia Islam. Tak perlu hantar ke hospital. Kita uruskan. Kerana..kita adalah saudaranya. Saudara seagama.

  10. Tamat.

Wednesday, August 17, 2011

MUALLAF YANG BERPUASA 8


  1. Kemudian datang satu makhluk yang amat besar. Sayapnya hampir menggelapkan dunia. Pada seluruh tubuhnya tercetak jutaan rupa wajah manusia yang pelbagai bentuk dan air muka. Termasuklah wajah aku yang sedang tersenyum. Muka makhluk itu ada pada setiap penjuru kepalanya. Depan, belakang, kiri dan kanan.

  2. Makluk itu memberi salam. Gempita bunyi salam tersebut namun salam itu seperti mengangkat aku terapung di awanan. Dengungan yang berdentum itu menjadi satu kesyahduan yang begitu mendamaikan.

  3. Makluk itu memandangku dengan mukanya yang di hadapan. Dia tersenyum dan terus memanggil namaku. "Wahai Hamba Allah, sesungguhnya aku datang kepadamu atas perintahNya. Aku mahu mengambil kamu dan meletakkan kamu ke tempat yang lebih baik."

  4. Lantas makhluk itu mengibarkan sayapnya. Terbentang satu kawasan yang amat indah. Bunga-bungaan yang berwarna warni dengan bauan yang sungguh harum dapat kurasakan hingga ke tulang hitamku.

  5. Ada mahligai indah bertatah zamrud. Mengalir sebatang sungai yang sungguh jernih dari tengah-tengah mahligai itu. Di tebing sungai itu ada dusun yang menghimpunan ratusan jenis buah-buahan yang harum. Bergantungan buaian di setiap dahan pohon buah yang rendang. Di atas buaian tersebut, ratusan gadis cantik melambai dan tersenyum kepadaku.

  6. Aku sendiri nampak aku ada di sana. Namun aku kelihatan lain sekali. Aku seperti seorang raja yang sungguh berkuasa. Setiap bekas tapak kakiku akan hilang ditimbus kelopak bunga mawar. Aku tertanya-tanya aku kah itu.

  7. Kemudian makhluk besar itu berkata kepadaku. "Wahai Hamba Allah, di sanalah nanti kamu akan tinggal. Tempat yang disediakan untuk orang yang dipilihNya. Tempat yang disediakan segala nikmat olehNya. Dan kamu akan kekal di sana. Bersedialah kamu..."

  8. Lantas aku katakan yang aku sudah bersedia. Aku sudah bersedia untuk pergi ke tempat yang amat indah itu. Tempat yang tak pernah aku bayangkan sebelum ini. Malah tempat yang aku rasakan hanya boleh dibina dengan rahmatNya.

  9. Aku pun bertanya...bagaimanakah caranya untuk aku ke sana? Katakanlah. Makhluk perkasa itu menunjukkan aku ke satu arah. Kau lihat dan kau bacalah apa yang tertulis di sana...Di mana....di mana...

  10. Bersambung.....

Sunday, August 14, 2011

MUALLAF YANG BERPUASA 7


  1. Seluruh teksi aku ditelan dalam cahaya tersebut. Berdesing bunyi apabila berselisih begitu hampir. Aku mengucap panjang. Mengucap dan terus mengucap. Tiba-tiba suasana menjadi sunyi. Terang benderang tetapi amat sunyi. Dingin dan panas silih berganti.

  2. Salah seorang penumpang menyapaku. Wahai hamba Allah, maafkan aku, aku telah mencari diseluruh pelusuk dunia akan setitik air untuk mu. Maafkan aku, sesungguhnya tiada lagi air untuk mu di sini. Maafkan aku wahai Hamba Allah.

  3. Kemudian penumpangku yang kedua pula berkata. Wahai hamba Allah, maafkan aku, aku telah mencari di seluruh pelusuk dunia akan kawasan untuk kau berlindung. Rupanya di sini adalah penghujungnya. Maafkan aku wahai Hamba Allah.

  4. Kemudian lagi penumpangku yang ketiga pula berkata. Wahai hamba Allah, maafkan aku, aku telah mencari diseluruh pelusuk dunia akan udara untuk kau terus sedut. Rupanya tiada lagi udara untuk mu di dunia ini. Maafkan aku wahai Hamba Allah.

  5. Tiba-tiba ketiga-tiga penumpang aku terus pergi. Hilang sekelip mata. Namun suasana terus terang. Dan aku rasa sungguh tenang. Paling tenang dalam seluruh perjalanan hidupku selama ini.

  6. Dalam terang datang sekumpulan makhluk yang ganjil. Ada yang besar dan ada yang kecil. Ada yang kelihatan seperti jutawan ternama dan ada yang datang seperti seorang dermawan popular. Ada yang kulihat seakan artis pujaan, ada pula seperti bintang sukan tersohor.

  7. Semakin lama kumpulan itu semakin menghampiri aku. Semakin kumpulan itu hampir kepadaku, semakin terasa bahang kepanasan. Aku jadi rimas yang tidak karuan. Panas yang tidak pernah aku rasa sebelum ini.

  8. Kemudian lalu sekumpulan angin yang putih dan jelas kelihatan. Angin itu menyapa muka dan seluruh badanku. Seraya itu, kepanasan yang tadi kurasa semakin berkurang. Malah aku jadi dingin yang damai. Damai yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini.

  9. Angin itu datang bersama renjisan air mawar yang harum. Lantas hati kecilku bertanya apakah angin itu? Angin yang terus bertiup perlahan itu berbunyi seperti mengalunkan satu irama lagu yang amat indah. Lagu itu bila kuhayati sebenar-benarnya berbunyi.."AKU ADALAH PUASAMU WAHAI HAMBA ALLAH".

  10. Bersambung......

Thursday, August 11, 2011

MUALLAF YANG BERPUASA 6


  1. Aku berpaling ke belakang. Aku melihat 3 orang makmum yang berpakaian serba putih. Aku terus membacakan doa. Makmum tadi hanya menyebut Amin dan Amin. Selesai doa kami bersalam-salaman.

  2. Aku terus bergerak ke arah teksiku. Aku perlu terus bergerak untuk mencari penumpang. Setiap penumpang yang menaiki teksi ini adalah petunjuk kepada rezekiku. Dari Masjid Besi aku bergerak ke arah Jalan Dengkil.

  3. Selepas simpang Jalan Dengkil menghala ke Bandar Baru Salak Tinggi teksi aku ditahan oleh 3 orang hamba Allah. Dari jauh aku nampak kelibat 3 orang lelaki berjubah. Mungkin jemaah Tabligh. Mungkin juga orang Pakistan atau Bangla yang datang bertabligh ke Malaysia.

  4. Aku memberhentikan teksi aku. Tiga orang lelaki tadi terus masuk ke dalam teksi. Terus mereka memberi salam dan meminta aku menghantar mereka ke KLIA. Salam aku jawab dan aku terus ke KLIA.

  5. Aku diam. Mereka juga diam. Langit yang tadi cerah mula menjadi kelam-kelam. Agaknya sekejap lagi hujan akan turun. Bagus juga hujan di bulan puasa ni, kurang sedikit bahang mentari.

  6. Tak sampai pun 10 minit hujan mula turun mencurah-curah. Lebat dan semakin lebat. Pandangan aku jadi kabur, 'wiper' teksiku seperti tidak mampu menolak air ke luar cermin hadapan. Aku memperlahankan teksiku.

  7. Salah seorang penumpang tersebut meletakkan tangannya ke atas bahuku. Dia hanya tersenyum. Tangannya menunjukkan tepat ke hadapan. Seperti mengarahkan aku terus memandu.

  8. Aku teruskan pemanduanku. Sampai di simpang tiga, aku belok ke kanan ke arah KLIA. Hujan seakan tidak mahu mengalah. Semakin galak membasah bumi. Aku pandu semakin perlahan. Semakin berhati-hati.

  9. Di hadapan ada satu selekoh tajam. Aku sedar. Aku terus berhati-hati. Aku lihat tiga orang penumpang tadi diam sahaja. Semuanya seperti sedang sibuk berzikir. Di hadapan ada cahaya seperti lampu lori. Semakin lama semakin mengarah kepada teksiku. Bila sudah begitu hampir, cahaya itu terus.......

  10. Bersambung....

Wednesday, August 10, 2011

MUALLAF YANG BERPUASA 5


  1. Tanpa aku sedari aku telah melalui puasa sehari demi sehari. Rupa-rupanya aku telah menamatkan 10 hari puasa. Sepuluh hari yang aku sangkakan akan membuat aku sengsara, rupa-rupanya telah mengajar aku erti kenikmatan dalam beribadah.

  2. Hari ini adalah hari kesebelas aku berpuasa. Aku rasakan hari ini agak semacam. Suasana dingin yang bergerak bersama hembusan angin pagi seakan menyamankan aku. Cuma dari selepas sahur hingga jam 1 petang ini aku masih lagi gagal mendapat walau seorang penumpang.

  3. Aku terus memandu perlahan-lahan. Kemudian aku berhenti di Masjid Besi, Putrajaya. Berehat seketika sebelum menunggu solat Zohor tiba. Selepas berwuduk, aku masuk ke dewan masjid dan membaca Al-Quran.

  4. Aku membaca Surah Al-Waaqi'ah, Juzuk 27, halaman 534. Selesai membaca aku meneliti terjemahan surah tersebut. Masya Allah, alangkah agungnya Allah dalam mengadili umatNya. Ada tiga golongan yang dihimpun di Mahsyar.

  5. Lantas aku terus berdoa..."Ya..Allah andainya aku gagal berada di barisan depan di MahsyarMu, Kau letakkan aku di bahagian kanan...dan andai aku masih tidak layak di barisan kanan...janganlah kau ambil nyawaku selagi namaku tertulis di bahagian kiri."

  6. Sayup-sayup aku dengar laungan Amin bersahut-sahutan. Aku ulang lagi membaca doa tersebut. Semakin berulang kubaca, semakin kuat laungan kalimah Amin yang kedengar. Semakin lama aku rasakan laungan kalimah Amin itu seperti bersatu dengan doaku.

  7. Akhirnya aku berpaling ke belakang setelah selesai aku berdoa. Hairan, tidak ada seorang pun manusia di dalam masjid yang tersergam ini. Hanya aku, tiang-tiang besar, dan mimbar yang berukir indah. Tiada jemaah lain, tiada imam, tiada bilal, dan yang ada hanya seorang Muallaf kerdil yang sedang berpuasa.

  8. Aku laungkan azan kerana zohor sentiasa tiba tepat pada masanya. Kemudian aku solat sunat. Selepas 15 minit menunggu, namun tiada jemaah lain yang tiba, aku terus solat Zohor. Aku terus lafaz niat dan mengangkat takbir...Allah hu-Akbar!

  9. Belumpun sempat aku membaca Fatihah, bahuku di sentuh orang. Makmum masbuk mungkin. Lantas aku menukar niat..menjadi Imam. Aku teruskan solat dalam kesyukuran...syukur kerana ada jemaah yang menjemaahkan solat mereka dalam rumah Allah yang indah ini. Selepas salam kedua....

  10. Bersambung...

Sunday, August 7, 2011

MUALLAF YANG BERPUASA 4


  1. Habis semua urusan dalam jam 5 petang. Sebelum balik rumah aku rasa ada baiknya kalau aku singgah pasar ramadhan di Jalan Tunku Abdul Rahman. Petang tu pulak jalan jem bagai nak giler. Jam 6.30 petang baru aku sampai.

  2. Aku letak kereta lebih kurang jer. Aku jalan cepat-cepat. Mata aku sibuk dok tengok juadah itu dan ini. Semuanya best-best. Keliru selera, mata, dan semua pancaindera aku. Makin aku pandang, makin lapar rasanya. Aku sendiri keliru antara lapar dan nafsu makan yang mula mengikis iman dan fikiran.

  3. Aku beristiqfar. Akhirnya aku hanya membeli 3 ketul karipap dan segelas air kelapa. Sedar tak sedar dah jam 7.15 malam. Dah hampir sangat dengan waktu berbuka. Aku terus berlari ke Masjid India. Aku rasa sempat untuk aku berbuka di Masjid India.

  4. Sampai saja Masjid India dah dekat sangat waktu berbuka. Aku tengok orang punya la ramai sampai tak ada satu tempat kosong pun. Ada seorang haji tu siap berjubah..serba putih. Muka punya la putih bersih. Haji tu datang dekat aku, terus tarik tangan aku dan bawa aku kat tengah-tengah kawasan berbuka. Aku ikut sahaja.

  5. Sampai di situ aku pun duduk di sebelah Haji tu. Aku lihat ada buah tamar, nasi mandi, dan air sirap selasih tanpa ais. Sebelum azan bergema Haji tu tepuk bahu kanan aku. Aku terus baca doa berbuka...Allahhummalakasumtu....sampai habis. Habis sahaja...azan terus bergema.

  6. Aku capai tamar...sedapnya. Lapas tu aku teguk sedekit air sirap selasih...sejuknya terus menyegarkan satu badan. Hairan tanpa ais, tapi sejuknya bukan kepalang. Kemudian aku makan nasi mandi perlahan-lahan. Aku lihat Haji bangun dan terus ke tengah dewan sembahyang.

  7. Aku pun berhenti makan dan terus berwuduk. Aku pun ke tengah dewan. Dalam kesibukkan dan ramai orang aku cuba cari Haji. Tak jumpa pula. Aku terus solat Maghrib. Selesai doa....aku ke belakang. Tiba-tiba Haji datang. Haji bawa sebuah Al-Quran. Dibukakan juzuk 27 surah Al-Najm. Aku buka dan baca. Lancar pulak aku baca walaupun aku tak pernah belajar Quran. Haji senyum.

  8. Kemudian aku sembahyang Isyak. Habis Isyak sambung dengan Solat Terawih. Semuanya tamat sebelum jam 9.45 malam. Sebaik sahaja selesai Terawih aku mencari-cari haji. Satu masjid aku tinjau. Hairan aku, masjid macam kosong sahaja. Ke mana hilang orang yang ramai-ramai tadi.

  9. Aku bertanya beberapa orang jemaah tentang Haji. Akhirnya aku tanya Pak Imam. Siapa Haji tu sebenarnya. Aku terangkan gambaran Haji itu. Aku ceritakan bagaimana aku boleh baca Al-Quran, Solat, dan berdoa bila Haji duduk di sebelahku. Pak Imam tu jawab begini...."Alhamdullillah....kau bertemu rahmat yang Agung dalam usia Islammu yang masih muda...pada hari pertama bulan pengampunan Allah.". Aku kebingungan.

  10. Bersambung...

Friday, August 5, 2011

MUALLAF YANG BERPUASA 3


  1. Aku sedar pada pukul 5 pagi. Aku terus ke dapur. Aku makan 5 biji buah tamar. Aku minum 2 gelas susu UHT. Lepas tu aku terus buat 2 biji telur separuh masak. Aku makan dan kemudian aku minum 2 gelas air suam. Aku pun niat berpuasa.

  2. Lepas bersahur aku mandi. Berwuduk dan solat subuh. Lepas solat aku berdoa. Ya Allah berikanlah kekuatan kepada aku untuk terus berpuasa sehingga waktu maghrib ini. Aku pejamkan mata. Aku mohon dengan rasa serendah-rendah diri.

  3. Selesai segalanya aku terus keluar rumah. Aku lapkan teksi aku. Sebagai pemandu teksi aku mahu teksi aku sentiasa cantik. Aku hidupkan teksi dan terus bergerak mencari pelanggan.

  4. Belumpun sempat sampai 500 meter teksi aku sudah mendapat seorang pelanggan. Seorang perempuan Melayu. Cantik bertudung. Aku berhentikan kereta. Gadis cantik tersebut terus masuk ke dalam teksi aku.

  5. Aku beri salam. Nak ke mana..macam biasa aku bertanya. Banggunan MKN Embassy, Cyberjaya, jawabnya ringkas. Aku berbual ringkas. Terkejut dia bila aku beritahu yang aku ni seorang Muallaf. Muslim dia kata bukan Muallaf.

  6. Pagi memang jem giler. Nak lepas tol Sungai Besi sahaja dekat 30 minit. Kat sebelah aku masa jem tu ada sebuah kereta RX8. Yang pandu orang Melayu. Dah tentulah Islam. Ini kan Malaysia. Sambil pandu masa jem tu aku tengok cantik punya sedut rokok. Pas tu sedut air tin dan kunyah roti. Ya Allah bukakanlah hati saudaraku untuk berpuasa. Aku terus panjatkan doa kepadaNya.

  7. Sampai sahaja di Cyberjaya, penumpang tadi terus hulur not 50. Aku kata sekejap saya bagi balik baki. Tak apa bang, buat belanja berbuka. Aku pun hairan, selepas menjadi Muslim rezeki aku semakin bertambah-tambah.

  8. Sebelum masuk jalan besar teksi aku ditahan lagi. Kali ini oleh sepasang Iran. Yang lelaki tinggi lampai, yang perempuan tak payah cerita...orang Iran..cantik susah nak diceritakan. Bukit Bintang...how much? 70 sir aku jawab. Ok...

  9. Baru nak masuk Highway Putrajaya tu Mat Iran dengan Minah Iran tu dah mula nak buat hal. Terus aku tanya. Sir are you Islam...I am Muslim...although I am Chinese. Terus Mat Iran tu tarik tangan dia keluar dari dalam baju Minah Iran tu...Thank you Sir...aku jawab.

  10. Bersambung....

Tuesday, August 2, 2011

MUALLAF YANG BERPUASA 2



  1. Aku sebenarnya teruja untuk berpuasa. Maklumlah ini adalah kali pertama. Dulu sebelum memeluk Islam aku hairan kenapa orang sanggup berlapar kerana agama mereka. Bodoh betul aku rasa.


  2. Pada aku puasa tak sama dengan solat. Solat aku rasa mudah. Lagipun, solat boleh berjemaah. Hanya mengikut imam. Puasa lain, tak boleh berjemaah. Puasa adalah ibadah individu. Kalau tak buat kira hutang yang berganda mengikut tahun. Jadi aku mesti berpuasa walaupun aku baru sebulan memeluk Islam.


  3. Petang itu waktu tengok anak bulan, aku awal-awal lagi dah tunggu pengumuman depan TV. Sekejap TV1, sekejap TV3, sekejap AWANI. Akhirnya jam 8.31 malam, Pemegang Mohor Besar Raja-raja pun mengumumkan esok adalah hari pertama puasa.


  4. Debaran aku makin terasa. Antara yakin dan tidak yakin...mampukah aku mengharungi ramadhan pertamaku ini. Aku ke surau untuk Solat Isyak. Ramainya jemaah.


  5. Rupanya malam ini adalah malam pertama Solat Terawih. Patutlah ramai orang kat surau. Ada jamuan pulak tu. Nasi ayam yang paling popular kat daerah aku ini. Nasi ayam hainan. Aku rasa mesti tauke kedai nasi ayam tu yang bersedekah.


  6. Mula-mula solat Isyak. Zikir dan doa. Lepas tu bilal berselawat. Terus sambung dengan solat sunat terawih. Aku tanyakan orang sebelah niat solat sunat terawih. Alhamdullillah, mudah sahaja dan Allah bukakan hati dan minda aku untuk terus hafal bacaan niat tersebut.


  7. Rakaat demi rakaat, maka 8 rakaat pun habis. Imam sambung dengan solat sunat witir. Dua rakaat dan satu rakaat. Sekali lagi aku tanya orang sebelah niat sunat witir. Nasib baik, hamba Allah tu ajarkan aku kedua-dua niat witir.


  8. Habis sahaja solat witir, ada majlis tahlil ringkas. Dalam 7 minit dah selesai. Lapas tu Pak Imam terus baca bismillah dan niat puasa. Aku terus ikut. Lega rasa tak perlu niat lagi. Aku pulak bukan mahir sangat bab niat-niat ni. Lepas tu jamuah moreh. Nasi ayam hainan..sedap giler. Tambah pulak aku belum lagi makan malam.


  9. Aku ingat tak perlu lagi bersahur sebab moreh tu dah kira bersahur. Pak Imam kata bukan. Nak sahur kena tidur dulu. Kemudian bangun dan makan sebelum waktu imsak. Aku pun balik rumah dan tidur.


  10. Bersambung....

Monday, August 1, 2011

MUALLAF YANG BERPUASA


  1. Aku sebenarnya baru sahaja memeluk Islam pada bulan lalu. Aku masuk Islam bukan sebab aku nak kahwin dengan perempuan Melayu, tapi sebab aku dah dapat petunjuk dari Allah.

  2. Dulu dalam I.C. aku ada agama. Agama datuk nenek aku. Tapi dalam hidup aku sebenarnya tak pernah ada agama. Kosong...sekosong-kosongnya. Angkat colok dan goyang-goyang...habis sembahyang.

  3. Kebetulan rumah aku tak sampai 30 meter dengan sebuah surau. Setiap pagi aku dengar azan. Asal pagi sahaja, aku dengar azan. Mula-mula memang sakit hati. Aku tengah mengantuk....tiba-tiba ada suara memekik dari surau tu. Memang aku bengang.

  4. Tapi satu hari tu aku demam. Badan aku panas sangat. Malam aku tak boleh tidur. Puas aku pusing kanan-kiri. Akhirnya aku tertidur juga. Tapi aku tak tahu bila aku tidur.

  5. Dalam tidur aku mimpi aku macam dah mati. Yang peliknya cara orang uruskan aku mati macam uruskan jenazah orang Islam. Aku dimandikan di surau depan rumah aku. Lepas mandi aku terus terus bangun. Yang aku hairan tu, masa aku bangun tak ada seorangpun jemaah yang lari. Sebaliknya semuanya menadah tangan berdoa dan bersyukur kepada Allah.

  6. Aku sendiri rasa terharu. Rasa segar dan rasa syahdu yang amat sukar untuk aku gambarkan. Pada masa yang sama aku rasa tenang yang amat. Gembira dan sedih bercampur-campur.

  7. Badan aku rasakan menjadi ringan. Aku nampak ada cahaya yang terang datang dari surau. Lantas aku terus bergerak ke arah cahaya tersebut. Semasa bergerak aku rasakan kaki aku seperti tidak mencecah tanah. Ringan dan seperti dihembus bayu.

  8. Bila aku sedar aku betul-betul berada di surau. Di barisan paling hadapan. Siap mengadap ke kiblat. Jemaah lain seperti membiarkan aku sendiri. Seolah-olah aku tiada di situ. Kemudian Imam datang menghampiri aku. Bersalaman dengan aku. Terasa satu tenaga mengalir dari Imam masuk ke dalam jantung aku.

  9. Imam terus lafazkan syahadah. Aku terus ikut melafazkan syahadah. Maka bermula lah aku sebagai Islam. Aku bukan mencari Islam. Tetapi aku dipilih untuk menjadi Islam. Dan hari ini adalah hari pertama aku berpuasa.

  10. Bersambung........